Showing posts with label perniagaan. Show all posts
Showing posts with label perniagaan. Show all posts

Saturday, January 21, 2012

12 Teknik memperbaiki jualan retail anda


Perniagaan retail merujuk kepada penjualan produk atau barangan di kedai, gedung, butik atau kiosk untuk dijual kepada pengguna, yang mungkin disertakan dengan khidmat penghantaran.

Terdapat 12 teknik untuk memperbaiki jualan retail anda iaitu:

1. Kenali dan kaji kemampuan anda
Kenal pasti kelebihan dan kekurangan anda dalam melaksanakan tanggung-jawab anda di bidang pemasaran, kewangan, pentadbiran dan sumber manusia berkaitan dengan perniagaan anda. Fokus kepada apa yang anda dapat lakukan dengan baik, dan dapatkan bantuan untuk perlaksanaan yang lain-lain.

2. Buat perancangan awal
Rangkakan rancangan perniagaan anda untuk membantu anda membuat keputusan yang betul. Anda perlu dapatkan sebanyak maklumat yang perlu berkaitan dengan segmen pasaran, pasaran yang anda khususkan, khidmat pelanggan, pemilihan produk, promosi dan penetapan harga.

3. Fahami industri anda
Anda perlu ada komitment dan kesungguhan untuk memahami industri yang anda ceburi secara terperinci agar lebih berdaya saing.

Kajian menunjukkan 5 sebab kenapa perniagaan selalu gagal:
a) kurang pengetahuan tentang industri yang berkaitan
b) tiada wawasan yang tepat
c) strategi pemasaran yang lemah
d) gagal menetapkan matlamat pencapaian
e) kurang modal

4. Fahami pelanggan
Fahami apa yang dikehendaki oleh pelanggan anda dan apa yang dapat menarik minat mereka untuk membeli khidmat atau produk dari anda. Lihat dari perspektif pelanggan anda iaitu yang berkaitan dengan pembelian, persembahan, penjualan dan kata-kata yang boleh menarik minat mereka, bukan dari segi apa yang anda mahu. Tidak keterlaluan jika dikatakan pelangganlah yang menentukan sama ada perniagaan anda akan berjaya atau tidak.

5. Simpan rekod kewangan perniagaan anda dengan lengkap
Simpan rekod perniagaan yang sempurna untuk pemantauan wang keluar dan masuk perniagaan anda. Jika perniagaan ini dibandingkan dengan permainan, maka peralatan yang digunakan adalah komputer dan mata/point skornya adalah matawang (RM atau $). Rekod kewangan yang baik umpama pengendalian dalam dashboard sebuah kapal terbang, ia menentukan ketinggian, arah dan kelajuan perniagaan anda. Bayangkan jika anda cuba mengemudinya dalam keadaan buta menuju destinasi yang anda kehendaki...

6. Uruskan wang tunai dengan baik
Sebuah gedung yang unik dan hebat sekalipun tidak dapat kekal tanpa aliran tunai. Buat belanjawan dengan bijak dan mengetahui tempoh dan kitaran wang masuk dan keluar anda untuk mengelakkan aliran tunai yang tidak mencukupi

7. Amalkan sistem pengurusan yang betul
Ini melibatkan pengurusan masa, sumber, perkhidmatan pelanggan dan kakitangan di dalam perniagaan anda. Berikan ruang dan peluang untuk kakitangan anda untuk maju dengan layanan dan ganjaran yang setimpal, dan mereka akan membantu anda menjayakan perniagaan anda.

8. Bentuk imej yang khusus untuk perniagaan anda
Imej amat perlu dalam usaha pemasaran anda. Persepsi pelanggan terbentuk dari pelbagai aspek lain berkaitan dengan perniagaan anda.

Antaranya adalah:
- nama
- ketrampilan
- laman web
- lokasi kedai
- produk
- perkhidmatan pelanggan
- harga
- tatahias kedai & peragaan
- papan tanda
- kad perniagaan
- risalah, bahan iklan

9. Kawal stok anda
Kekurangan stok atau inventori akan menyebabkan permintaan pelanggan tidak dapat dipenuhi manakala pergerakan stok yang lembab akan meyebabkan stok lapuk atau ketinggalan zaman dan merugikan anda.

10. Fokus kepada keuntungan
Konsep asas dalam meletakkan harga adalah bergantung kepada anggaran nilai yang sanggup dibayar oleh pelanggan berdasarkan bekalan dan permintaan (supply & demand) yang ada. Untuk berdaya saing dan menarik lebih ramai pelanggan, anda perlu memberikan nilai yang lebih kepada pelanggan anda. Dapatkan diskaun pada harga pengilang dengan menyertai kumpulan peniaga yang berkenaan agar anda dapat membeli barangan lebih murah dari harga borong biasa.

11. Tuntut ilmu daripada pakar
Di dalam zaman yang serba pantas dan maju ini, terlalu kecil ruang yang ada untuk membuat kesilapan. Tanpa pengetahuan dan pengendalian yang betul, anda mungkin ketinggalan dan boleh membinasakan perniagaan anda. Memiliki idea baru yang segar dengan kedudukan yang selamat dalam dunia perniagaan ini adalah amat perlu.

12. Dapatkan pertolongan jika anda perlu
Anda perlu lakukan apa sahaja yang perlu untuk mendapatkan hasil yang anda ingini, walaupun dengan terpaksa bertanya dan mendapatkan bantuan yang berkaitan. Perkara yang tidak anda ketahui mungkin akan menyebabkan kerugian dan menyukarkan anda dalam mencapai matlamat perniagaan anda. Dapatkan khidmat pakar dengan kebolehan khusus dalam mencapai matlamat perniagaan anda, menjana keuntungan dan menyelamatkan perniagaan dan kewangan anda untuk jangkamasa yang lebih lama

Sumber: Bob Nelson, Businessknowhow.com

Sunday, January 15, 2012

Keusahawanan - Adakah Anda Bersedia Untuknya?





Ramai di antara kita mempunyai matlamat dan impian untuk menjadi usahawan yang berjaya. Namun begitu adakah minat atau semangat semata-mata adalah sudah cukup? Sebenarnya terdapat beberapa faktor untuk berjaya dengan cemerlang di dalam kerjaya atau bidang ini .









Beberapa perkara yang perlu diambil kira adalah:

1. Kemahiran
Sama ada formal atau tidak formal, kemahiran perlu untuk menjamin kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi, di samping naluri yang kuat, minat dan semangat. Pendidikan dalam bentuk tidak formal boleh didapati melalui pembacaan majalah atau buku yang berkaitan, membuat carian melalui sumber di internet, bertanya kepada mereka yang pernah dan berjaya dalam bidang tersebut. Pendidikan formal boleh didapati melalui kursus-kursus yang dianjurkan oleh kerajaan atau pihak swasta. Antaranya adalah kursus anjuran MARA, Tekun, Jabatan Pertanian, Kementerian Belia dan Sukan dan lain-lain.

2. Jati Diri
Apa yang kita pelajari secara formal atau tidak formal, tidak semestinya sama dengan apa yang kita alami di dalam dunia keusahawanan yang sebenar. Faktor-faktor perubahan ekonomi (mikro dan makro) juga perlu diambil kira bagi menyesuaikan dengan keadaan perniagaan yang kita jalankan. Oleh itu, sikap mudah menerima sebarang perubahan dan menyesuaikan diri mengikut kehendak perniagaan kita adalah juga perlu. Dalam menghadapi sebarang masalah dan perubahan arus dalam dunia perniagaan kita, sifat cekal dan tidak mudah putus asa adalah amat perlu, di samping sentiasa bersedia untuk mempelajari sesuatu yang baru untuk berjaya.

3. Berdaya saing
Perniagaan anda perlukan sesuatu yang berlainan untuk bersaing dengan perniagaan-perniagaan lain di dalam bidang yang sama. Ini sering dipanggil "X factor", iaitu sesuatu kelainan pada perniagaan anda dan menjadi tarikan kepada para pelanggan.

Beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian adalah:

a) Fahami kaedah pemasaran terbaru untuk mencapai matlamat penjualan atau keuntungan anda.

b) Pilih kaedah pengiklanan yang terkini dan sesuai untuk menyampaikan maklumat tentang perniagaan anda kepada prospek atau bakal pelanggan anda secara meluas.

c) Sentiasa peka kepada peluang baru dan ruang untuk melibatkan perniagaan anda dalam memenuhi keperluan yang ada di pasaran.

d) Mengkaji "niche market" iaitu pasaran untuk sesuatu bidang yang dikhususkan dengan lebih terperinci berkaitan dengan sesuatu produk atau perkhidmatan. Dengan mengenal pasti sesuatu bidang khusus yang mempunyai permintaan yang banyak dengan saingan yang terhad, anda mempunyai kuasa yang lebih untuk mengawal harga dan jumlah jualan anda.

Untuk menentukan pasaran sasaran anda (target market), anda perlu menggunakan kreativiti anda dalam membuat keputusan berkaitan dengan:
- lokasi untuk mengedarkan produk atau memberi perkhidmatan anda
- harga
- kriteria barang atau perkhidmatan anda
- teknik pemasaran


4. Pengurusan
Keputusan yang tepat dan berkesan amat penting bagi setiap usahawan, terutamanya setelah anda melaburkan sumber kewangan dan tenaga yang banyak. Keputusan yang salah dan kurang bijak boleh mengakibatkan kepincangan perniagaan anda. Oleh itu perjalanan syarikat perlu didokumentasikan sebagai data pengurusan dalam membantu proses membuat keputusan di masa hadapan.

Seorang usahawan perlu mengamalkan sikap berfikiran di luar kotak pemikiran biasa ("thinking out of the box") dengan cuba melihat sesuatu masalah atau cabaran dari sudut dan perspektif yang berbeza untuk mendapatkan penyelesaian yang bijak dan berkesan.

Risiko tidak dapat dielakkan di dalam perniagaan, tetapi tahap risiko boleh dikurangkan dengan membuat analisa menggunakan maklumat dari sumber yang tepat dan boleh dipercayai, sebelum sesuatu keputusan itu boleh dicapai.

5. Motivasi
Bagi sesetengah perniagaan yang memerlukan masa untuk sampai ke tahap yang diingini, motivasi amat perlu untuk mengekalkan semangat dan sikap positif seseorang usahawan.

Kesinambungan permintaan amat perlu bagi menjamin masa depan perniagaan. Ini boleh dicapai melalui jaringan atau rangkaian perniagaan seperti Gabungan atau Persatuan Peniaga dalam bidang yang anda ceburi. Dengan penyatuan seperti ini, sesebuah perniagaan itu mampu untuk bergerak ke tahap yang lebih cemerlang.







Berdasarkan artikel di dalam Utusan Malaysia tulisan Syed Azam Jamalullil


.

Menguji Tahap Keusahawanan Anda



Ramai bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Tetapi adakah diri kita cocok (cookie-cut) untuk menjadi usahawan? Bukan bermakna anda tidak boleh menjadi seorang usahawan, tetapi mungkin anda perlu berusaha lebih berbanding dengan mereka yang merupakan usahawan 'semulajadi'.

Ujian yang berikut adalah untuk menentukan secara umum sama ada anda bersedia secara fizikal atau mental untuk memulakan perniagaan anda sendiri.


Ciri-ciri utama seorang usahawan:

1. Adakah anda seorang yang gigih dan tabah?

2. Adakah anda seorang sanggup bekerja keras?

3. Adakan anda mudah mempengaruhi orang lain?

4. Adakah anda memotivasi diri anda sendiri?

5. Adakah anda sanggup menerima kritikan?

6. Adakah anda seorang yang teratur?

7. Adakah anda seorang yang boleh dipercayai?

8. Adakan anda seorang yang pandai membangkitkan semangat orang lain?

9. Adakah anda berkemahiran dalam bidang yang anda ingin ceburi?

10. Adakah anda seorang yang mudah belajar?

11. Adakah anda memiliki sikap yang profesional?

12. Adakah anda seorang yang sabar dengan mereka yang ada di sekeliling anda?

13. Adakah kesihatan anda baik?


Sikap dalam bekerja:

14. Ada anda mudah mengalah?

15. Adakah anda akan bekerja keras jika sesuatu itu memberi menfaat kepada anda

16. Adakah anda tidak suka bekerja



Hubungan dengan orang lain:

17. Adakah anda mudah terganggu dengan orang lain

18. Adakah anda mudah bersahabat dengan orang lain?

19. Adakah anda mudah bertolak ansur dengan orang lain?

20. Adakah anda mudah memperdaya orang lain dengan tanggapan bahawa anda suka dengan mereka?






Sifat Kepimpinan

21. Adakah orang lain mudah untuk menolong anda

22. Adakah anda bekerjasama dengan orang lain untuk menyelesaikan sesuatu tugas

23. Adakah anda lakuan sesuatu dengan inisiatif anda sendiri tanpa perlu diberitahu oleh orang lain?



Pendirian

24. Adakah anda menyelesaikan apa yang anda mulakan?

25. Adakah anda mudah mengalih perhatian anda dengan sesuatu gangguan?

26. Adakah anda mudah bosan jika sesuatu tidak itu tidak mengikut kehendak anda?


Sifat Boleh Dipercayai

27. Adakah anda menunaikan segala janji anda?

28. Adakah anda berjanji hanya jika anda sanggup melakukannya?


Membuat keputusan

29. Adakah anda membiarkan orang lain membuat keputusan untuk anda?

30. Adakah anda mudah membuat keputusan yang segera?

31. Adakah anda mudah mengubah keputusan anda?

32. Adakah anda hanya akan membuat keputusan setelah mendengar pendapat semua orang

33. Adakah anda tidak suka mendengar nasihat orang lain?

34. Adakah anda berpendapat keputusan yang salah itu lebih baih dari tidak membuat keputusan langsung.

Soalan-soalan di atas adalah sekadar untuk mengenal pasti kelebihan dan kekurangan anda sebagai seorang usahawan. Dengan mengenal pasti kelebihan dan kekurangan anda, anda boleh memilih bidang yang lebih sesuai dengan anda. Sebagai contoh, adalah tidak bijak untuk seseorang yang mudah cemas dan mudah tertekan untuk menceburi bidang pasaran saham.


Sumber: Work For Yourself oleh Brian Isaacs

Bagaimana menulis iklan produk atau servis anda


Menulis iklan bukan sekadar menyatakan maklumat produk atau perkhidmatan anda dan menunggu pelanggan datang untuk membeli dari anda. Ianya boleh dilihat sebagai satu "seni" atau "teknik psikologi"untuk memujuk pelanggan kepada anda

Berapa kali anda telah menulis iklan dan bagaimana respons yang telah anda terima? Jika anda telah dapat menemui pembeli dalam masa sehari, situasi anda mungkin termasuk dalam salah satu kategori berikut

- produk/servis/perkara yang anda iklankan itu benar-benar menarik atau sedang hangat di pasaran, atau

- lokasi iklan anda benar-benar strategik, atau

- anda sememangnya seorang yang mahir menulis iklan yang menarik minat pembeli

Jika tidak, mari kita lihat beberapa teknik menulis iklan supaya “meliurkan” orang yang membacanya.

Teknik yang dipanggil "AIDA" ini dibahagi kepada empat bahagian penting:
1. Attention (Perhatian)
Berhentikan seseorang dari apa yang sedang dikerjakan untuk membaca atau melihat iklan anda.

2. Interest (minat)
Jadikan dia berminat untuk terus membaca iklan tersebut

3. Desire (Keinginan)
Bangkitkan keinginannya untuk memiliki apa yang iklankan

4. Action (Tindakan)
Pandu dia untuk mengambil tindakan spontan sekarang juga sebelum keinginan yang dibangkitkan tadi pudar dan hilang


Apakah langkah-langkah yang perlu anda ambil:

1. Kenal pasti siapakah pembaca anda dan cara apa dia akan bertemu dengan iklan anda

Anda perlu memilih lokasi yang sesuai untuk mendapatkan ramai yang berminat dengan iklan anda dan penggunaan perkataannya perlu sesuai dengan pembaca yang anda inginkan. Adakah produk/servis anda untuk para remaja lepasan sekolah (contohnya, iklan pekerjaan sambilan), atau mereka yang menghadapi masalah jerawat dll. Lokasi yang anda pilih untuk menyampaikan mesej anda juga perlu. Contohnya jika ianya untuk remaja mungkin anda boleh letakkan iklan atau flyer anda di cybercafe atau kompleks beli-belah. Jika ianya produk jerawat, mungkin anda boleh letak iklan di laman web yang membincangkan masalah yang dihadapi oleh mereka yang berjerawat. Ini memerlukan kreativiti dan ilham spontan anda untuk menjadikan kempen anda berjaya


2. Kenal pasti apakah objektif anda menulis iklan tersebut.

Adakah anda mahu prospek (bakal pelanggan) anda untuk klik iklan anda, atau memberikan maklumat melalui autoresponder, atau membuat panggilan telefon kepada nombor yang anda berikan.


3. Pilih tajuk iklan yang bersesuaian.

Anda perlu bayangkan apa yang perlu untuk membuat prospek anda berhenti dari apa yang sedang dibuatnya untuk memberi masa membaca iklan anda. Ianya perlu ringkas tetapi tepat mengena sasaran prospek anda. Anda boleh gunakan kata-kata yang besar impaknya, tetapi pastikan ianya kena dengan isi iklan anda dan bukan satu penipuan atau janji palsu. Contohnya jika anda menjual ubat jerawat yang sememangnya berkesan menghapuskan jerawat dalam masa 3 hari, and boleh tulis iklan contohnya “JERAWAT HILANG DALAM MASA 3 HARI”, atau apa-apa yang anda rasa boleh menarik perhatian dan belum lagi dapat dicapai dengan produk semasa yang lain.


4. Gunakan bahasa yang ringkas, padat, mudah difaham dan menarik perhatian
Setelah berjaya menarik perhatian prospek anda, sekarang anda telah ada peluang untuk memperkenalkan produk anda dengan matlamat menarik minatnya untuk membaca lebih lanjut. Anda perlu lakukan ini dengan kata-kata yang ringkas dan padat tetapi dapat menyampaikan mesej anda. Anda perlu rasakan pembaca anda ada masa yang singkat untuk membaca iklan anda, tetapi faham kepentingan produk itu untuk dirinya.

Anda boleh senaraikan kelebihan produk anda, dalam bentuk senang difaham dan menangkap tumpuan pembaca. Gunakan perkataan, ayat dan perenggan yang pendek dan tidak berbunga-bunga tetapi jelas tentang produk anda.


5. Timbulkan rasa "saya perlu beli" dalam diri prospek anda
Setelah anda menerangkan kelebihan produk/servis anda, anda perlu membangkitkan keiniginan dalam diri pembaca untuk membeli produk anda. Ini adalah kemuncak kepada matlamat iklan anda. Sekiranya seseorang tahu kelebihan sesuatu produk, tetapi tidak dapat mengaplikasikan kepada dirinya, maka besar kemungkinan dia tidak akan membeli produk itu.

Oleh itu, anda perlu letakkan diri anda sebagai pembeli dan ketahui masalah-masalah yang akan dapat diselesaikan dengan produk itu. Anda perlu manipulasikan masalah-masalah itu untuk menimbulkan persoalan bahawa ianya adalah masalah yang boleh menjadi serius. Berbalik kepada produk jerawat tadi, mungkin prospek anda merasa jerawat bukanlah masalah serius dan rasa selesa dengannya, anda boleh buat kajian tentang kes-kes di mana jerawat menjadi masalah kulit serius jika tidak dicegah dari awal. Jika ada gambar visual lagi bagus, kerana ini akan memberi impak kepada prospek anda bahawa masalah itu ada kena-mengena dengan dirinya dan akan berkeinginan untuk memilik produk anda.

Penyampaian anda yang bersemangat dan penuh minat juga boleh menarik perhatian pembaca anda dengan aura penulisan anda yang tersendiri, bukan sekadar memberikan poin-poin. Berikan fakta yang lebih meyakinkan. Contohnya jika anda menjual produk penjumatan minyak kereta, kenapa perlu tulis “menjimatkan minyak anda” jika anda boleh dapat impak yang lebih dengan menulis “penjimatan minyak sebanyak 50%”, tetapi pastikan fakta itu benar dan bukan janji palsu. Anda boleh menipu seseorang sekali, tetapi selepas itu anda akan melihat kesan kepada penjualan anda di masa hadapan kerana “pisang tidak akan berbuah dua kali”.


6. Dapatkan tindakbalasnya dengan segera

Anda telah tiba di kemuncak apabila prospek anda bersemangat untuk mendapatkan produk anda. Dapatkan tindakbalasnya pada masa itu juga sebelum dia hilang minat dan menukar fikiran. Jangan hanya berikan link ke laman web anda, sebaliknya suruh dia klik ke laman web anda sekarang juga. Fikirkan cara supaya dia mudah bertindak pada masa itu juga tanpa perlu banyak proses yang perlu dilalui.

Memberi promosi untuk masa terhad juga adalah satu cara bagus untuk mendapatkan tindakbalas segera. Contohnya, jika tawaran diskaun 50%, berikan tempoh untuk hari ini atau selagi stok masih ada. Tetapi pastikan anda perlu hentikan tawaran tersebut apabila tamat tempoh seperti yang anda janjikan. Sekiranya anda beritahu tawaran untuk hari ini, tetapi harga masih seperti itu esok atau minggu depan, ia akan “memecahkan tembelang” anda.


Teknik “AIDA” ini adalah sebagai panduan sahaja, kerana adalah bukan perkara mudah untuk mengetahui kehendak pelanggan anda. Kerana itu ada syarikat yang sanggup membelanjakan wang yang banyak semata-mata untuk mengetahui citarasa dan kehendak bakal pelanggan mereka. Satu lagi tip yang bagus untuk anda adalah untuk membuat pelbagai versi untuk iklan anda dan melihat yang mana mendapat respons yang baik. Ini boleh dijadikan panduan untuk iklan-iklan anda di masa hadapan. Selamat Berjaya dengan kempen iklan anda.




11 Cara memasarkan produk atau perkhidmatan anda secara online


Mengiklan produk dan perkhidmatan bukanlah perkara baru dan telah menjadi pilihan ramai kerana berjuta, malah berbilion pengunjung pelbagai laman di internet. Ianya bergantung kepada strategi anda untuk menyampaikan maklumat anda kepada individu yang berlainan bahasa, adat-budaya, etnik, agama, lokasi, minat dan kecenderungan di seluruh dunia ini.

Antara cara-caranya adalah:

1. Menulis artikel yang anda hantarkan ke Squidoo, Hubpage, Ezine dan pelbagai direktori artikel (article Directories) dan meletakkan maklumat perniagaan anda termasuk URL link di dalam bio box penulis. Syarat-syarat untuk menghantar artikel anda adalah agak ketat untuk memastikan mutu artikel tersebut termasuk penguasaan bahasa (inggeris) yang digunakan. Tetapi jika anda persisten dan mencuba berkali-kali, artikel anda mungkin akan disiarkan. Anda boleh juga menjadi penulis jemputan (guest writer) di sesetengah laman blog dan laman web dengan izin pemilik laman tersebut.

2. Menggunakan perkhidmatan iklan pay-per-click (PPC) seperti Google Adword, Yahoo Search Marketing dan Microsoft AdCenter. Untuk menggunakan perkhidmatan ini, anda perlu memilih kata-kunci (keyword) yang sesuai digunakan untuk promosi anda. Iklan anda akan diletak dimerata tempat yang melibatkan kata-kunci yang anda pilih. Kos dikenakan menurut jumlah klik oleh pengunjung yang dibuat untuk iklan anda. Jika bajet anda lebih, anda boleh mendapat lebih banyak pilihan termasuk kedudukan iklan anda dalam sesebuah laman web atau kekerapan iklan anda disiarkan.

3. Mengoptimumkan laman web anda untuk mendapat ranking yang baik dalam Google, Yahoo atau MSN. Ada banyak faktor untuk menentukan kedudukan (ranking) sesebuah laman web, termasuk:
- pemilihan kata kunci utama yang anda letakkan sebagai tajuk
- pemilihan perkataan untuk meta tag
- pengulangan kata kunci di dalam isi kandungan laman web anda
- berapa banyak laman web anda dihubungkan ke laman web yang lain
- pemilihan nama untuk nama domain anda(http://www./)

4. Membina e-mail list dengan menarik pengunjung untuk menjadi ahli (sign in)pengunjung laman web anda (opt-in). Kemudian menggunakan khidmat autoresponder anda menghantar email kepada senarai e-mail yang ada untuk mempromosi produk anda. Antara cara menarik pengunjung untuk sign-in adalah dengan menawarkan barangan digital percuma (freebies) berbentuk file pdf atau perisian mini, atau menyediakan perkhidmatan percuma seperti akses kepada laman web yang menyediakan program atau perisian untuk laman web (web tools) dan banyak lagi.

5. Menggunakan social media untuk mempromosi kepada rakan-rakan anda di Facebook, Myspace, dan pelbaga jenis forum.

6. Menggunakan Classified ads ataupun iklan percuma yang dikategori mengikut jenis iklan

7. Menggunakan khidmat traffic generator seperti Adland Pro, Traffic Swarm, Easy Hits 4 U atauHeart Traffic, yang mana pengunjung dari pelbagai lokasi dari seluruh dunia akan dihantar untuk mengunjung laman web anda. Kebanyakannya hanya menerima laman web di dalam bahasa inggeris.

8. Menggunakan signature tag dalam e-mail atau forum posting anda. Dengan cara ini anda perlu kreatif untuk memilih perkataan yang sesuai untuk menarik minat mereka yang melihat "iklan" anda untuk mengunjung ke laman web anda

9. Mengadakan joint venture bersama pemilik laman web lain untuk berkongsi senarai e-mail pelanggan masing-masing

10. Bertukar-tukar URL link dengan pemilik laman web atau blog lain untuk diletakkan di laman masing-masing. Ini adalah cara yang paling biasa digunakan dan biasanya ia adalah percuma, melainkan jika sesebuah laman web itu begitu popular hingga memiliki beribu pengunjung setiap hari.

11. Menggunakan Youtube video untuk memperkenalkan produk atau perkhidmatan anda, atau sekadar meletakkan URL link anda di dalam clip video tersebut. Anda perlu memiliki asas mengedit video kerana anda perlu tahu bagaimana memasukkan iklan anda di dalam video tersebut sama ada sebagai teks bergerak dibawah kip video tersebut, atau sebagai teks di awal atau akhir video tersebut. Jika video anda itu dilihat oleh beribu orang di seluruh dunia, itu adalah promosi yang sangat baik untuk anda.

Terdapat banyak lagi cara-cara lain yang sedia ada dan bakal tiba di alam siber ini, hanya yang anda perlu adalah kesungguhan dan ketekunan mencari dan mempelajari teknik baru untuk mencapai matlamat anda.
Selamat mencuba.

7 Cara menjana pendapatan di internet




Di zaman ini internet bukan lagi setakat satu kemudahan atau alat komunikasi, tetapi telah menjadi satu budaya dalam kehidupan manusia. Salah satu perkara yang menarik minat ramai berkaitan dengan internet adalah menjana pendapatan melalui kemudahan yang disediakan. Antara cara-caranya adalah:



1. Laman blog atau laman web

Menerusi cara ini anda perlu memiliki sebuah laman blog atau laman web yang aktif dan ramai pengunjung. Anda boleh meletakkan pelbagai wadah berbentuk tulisan, gambar, video atau hasil karya anda yang asli. Pengunjng-pengunjung yang berminat dengan apa yang anda hidangkan di dalam blog atau laman web anda akan menjadi peminat setia anda dan mungkin akan menyebarkan kepada rakan-rakan mereka yang lain. Laman-laman carian juga akan meletakkan kedudukan yang lebih tinggi bagi kata-kata carian tertentu berhubung dengan laman anda. Apabila laman blog atau web anda telah dikunjungi ramai, anda boleh menjana pendapatan melalui iklan di laman web anda

Trend yang menjadi kegilaan ramai masakini adalah facebook di mana anda boleh sediakan laman fanpage untuk tujuan pengiklanan anda


2. Menjual produk affiliate

Anda boleh menjual sesuatu produk bagi pihak orang lain dan mendapat komisyen dengan setiap jualan. Setiap "affiliate" atau ejen jualan mempunyai sebuah link ID yang unik yang akan menentukan jumlah komisyen bagi setiap pembelian yang dibuat oleh online.


3. Menjual produk atau perkhidmatan anda

Melalui cara ini anda perlu ada produk atau perkhidmatan yang boleh ditawarkan. Antaranya adalah:

- menjual produk yang anda jual secara offline seperti produk kesihatan, minuman, pakaian, buku dll

- menjual produk digital seperti ebook dalam bentuk pdf

- program dalam bentuk video atau audio

- perisian yang memenuhi kehendak sesebuah pasaran kecil dan menyelesaikan masalah yang belum dapat diselesaikan dalam internet

- perkhidmatan membuat laman web

- perkhidmatan membuat iklan dinamik (ada pergerakan) dalam bentuk flash atau gif

- perkhidmatan mereka grafik untuk iklan sesebuah produk atau perkhidmatan

- perkhidmatan mengalih-bahasa sesebuah dokumen, dan lain-lain lagi


4. Membeli dan menjual semula domain yang dibangunkan (site flipping)

Anda perlu mencari idea untuk sebuah laman web yang mana pengunjung sanggup membayar yuran langganan bulanan untuk mendapatkan maklumat dari laman web tersebut


5. Mengisi borang survey atau kajiselidik
Ada pelbagai laman web yang memerlukan anda untuk menjawab soalan berkaitan kajian pasaran sesebuah produk atau kajian umum. Anda mungkin dibayar mengikut kutipan markah yang akan ditukar kepada wang, atau mungkin dibayar terus secara online melalui akaun paypal anda, atau mungkin melalui cek yang akan dihantar ke alamat anda. Sesetengah syarikat ini hanya menerima mereka yang beralamat di Amerika, jadi anda perlu periksa terlebih dahulu sebelum menyertainya. Antara laman yang menyediakan kajiselidik seperti ini adalah Globaltestmarket


6. Menjual maklumat yang anda bukukan dalam bentuk pdf

Jika anda rajin menulis dan memiliki pengetahuan yang meluas dalam sesuatu bidang yang mana ramai orang ingin memiliki maklumat tersebut, anda boleh bukukan menjadi sebuah dokumen yang dibukukan dalam bentuk pdf. Pdf adalah sejenis fail digital yang memerlukan perisian seperti Adobe Acrobat, dan menjadi medium yang popular di barat untuk mengedarkan bahan bacaan digital. Jika anda kurang yakin dengan penguasaan bahasa anda, anda boleh menggunakan khidmat alihbahasa atau memeriksa penggunaan bahasa anda di internet.


7. Menghoskan forum dalam sesuatu bidang dan meletakkan iklan adsense

Adsense adalah iklan yang diedarkan oleh sesetengah syarikat yang akan membayar pemilik laman blog atau web mengikut tindak-balas para pengunjung laman tersebut. Contohnya ia memerlukan pengunjung untuk mengisi maklumat dalan sebuah borang, atau memberikan e-mail mereka, dan bagi setiap tindak-balas yang lengkap, pemilik laman web tersebut akan dibayar dengan jumlah yang tertentu. Anda perlu baca syarat-syarat sebelum meletakkan iklan tersebut, kerana jika anda melanggar syarat-syarat yang diberikan, akaun anda akan digantung dan tidak mendapat bayaran seperti yang dijanjikan.

Sebenarnya ada banyak lagi cara-cara lain, namun begitu kejayaan anda bergantung kepada kesungguhan dan semangat anda untuk bersaing di alam siber dan mengikuti perkembangan terkini teknologi dan kemudahan baru di dalam dunia siber ini.
Selamat berjaya