Showing posts with label bina diri. Show all posts
Showing posts with label bina diri. Show all posts

Sunday, January 15, 2012

Tahun Baru dan Azam Baru Anda



Sebenarnya artikel ini bukan hanya sesuai dibaca menjelang awal tahun sahaja, tetapi bagus untuk disemak pada bila-bila masa jua – sama ada di awal, di pertengahan atau akhir tahun sekalipun. Sebenarnya dalam keghairahan untuk membuat satu azam baru yang hebat, satu persoalan timbul, iaitu “Adakah kita telah mencapai matlamat atau azam yang kita rancangkan tahun lepas?”

Anda mungkin masih boleh ingat jawapan anda semasa ditanya tentang azam baru anda tahun lepas. Mungkin anda salah seorang daripada mereka yang menjawab dengan semangat berkobar-kobar dan penuh ghairah semasa menerangkan azam baru anda dan setiap perkara baru yang ingin anda capai. Dan sekiranya ditanya tentang sejauh mana pencapaian anda beberapa bulan kemudian, adakah anda masih bersemangat dan ghairah seperti sebelumnya. Sekiranya ya, Tahniah! Jika tidak, anda mungkin seperti beberapa orang lain yang menjawab seperti ini:

1. “Saya tidak ada azam baru sebab saya tidak pernah capai apa yang saya rancangkan”
2. “Mula-mula saya begitu bersemangat, tapi sekarang sudah tidak minat untuk capai azam baru saya”

Satu persoalan timbul, iaitu sama ada azam baru ini hanya sekadar satu gimik secara psikologi yang kita reka untuk memeriahkan sambutan tahun baru kita, atau ianya satu petanda bahawa kita ingin membuat satu pembaharuan dalam hidup kita?

Kenapakah kita begitu bersemangat pada mulanya, tetapi setelah beberapa bulan berlalu, ianya hanya tinggal sebagai satu agenda usang dalam diari atau kalendar kita, atau sekadar satu memori dalam ingatan kita? Kenapa kita begitu ghairah pada permulaannya, tetapi hilang minat untuk menjadikan azam baru kita satu kenyataan? Jika ini tidak berlaku pada anda dan anda telahpun berjaya mencapai azam yang anda buat tahun lepas, Tahniah! Anda tidak perlu membaca artikel ini. Jika tidak, mari kita selidik bersama-sama antara sebab-sebabnya.


Kenapa begitu sukar untuk mencapai azam baru saya?

Menurut pakar, ada beberapa sebab-sebab yang umum:

1. Tidak cukup komitmen

Ini mungkin berlaku kerana:
a) Anda tidak menulis apa azam baru yang ingin anda capai




b) Anda tidak berkongsi azam baru anda dengan orang lain. Ini mungkin kerana anda takut atau malu akan diperkecilkan oleh orang lain sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat anda





c) Anda berfikir bahawa azam baru anda hanyalah satu perkara baru yang bagus, tetapi tidak begitu penting untuk anda capai





d) Anda berfikir bahawa sekiranya anda tidak berjaya mencapainya tahun ini, anda boleh melaksanakannya tahun depan atau ppada tahun-tahun yang seterusnya


2. Tiada perancangan yang baik dan terperinci tentang cara-cara untuk mencapai azam tahun baru anda

3. Matlamat yang anda pilih sebagai azam baru anda terlalu banyak, terlalu kabur, terlalu rumit atau terlalu tinggi


Hanya sekadar agenda sampingan

Sekiranya anda bekerja dengan majikan, mungkin anda telah biasa dengan tugasan-tugasan penting yang diamanatkan oleh ketua atau bos anda; dan sekiranya anda bekerja sendiri, tentu anda telah maklum akan kerja-kerja yang perlu anda laksanakan untuk memenuhi citarasa pelanggan anda. Apabila kita berhadapan dengan kesuntukan masa menjelang ‘dateline’ dengan ratusan tugasan yang belum dapat kita laksanakan, tubuh kita akan bertindakbalas dengan deruan adrenalin ke segenap pelusuk tubuh dan otak kita, mengakibatkan kita berasa cemas dan akan tergesa-gesa untuk menyiapkan segala urusan kita. Ini adalah kerana kita tahu akibat kegagalan kita untuk menyempurnakan tugasan kita – sama ada kita akan dimarahi bos kita, atau kita akan kehilangan pelanggan kita yang berharga.

Malangnya, apabila berhadapan dengan azam baru yang belum kita capai lagi menjelang hujung tahun, kita hanya beranggapan ianya sebagai ‘bonus’ sekiranya kita berjaya mencapainya. Mungkin sememangnya ianya hanyalah sekadar agenda tambahan, tetapi apakah yang digambarkan oleh sikap kita yang sebegitu tentang diri kita?





Semuanya berkaitan dengan menetapkan matlamat anda

Mungkin persoalan utamanya bukanlah sama ada anda telah mencapai azam baru anda atau tidak, tetapi sebenarnya adalah tentang kesungguhan kita untuk mencapai matlamat yang kita rancangkan. Kita mungkin telah terbiasa untuk melambatkan atau menangguhkan perkara yang kita rasa tidak begitu penting, atau melakukan sesuatu tugasan hanya apabila kita terdesak atau teramat perlu melakukannya. Kita seolah-olah rela membiarkan hidup kita berlalu tanpa pencapaian yang jitu dan mantap dalam hidup kita, daripada berusaha lebih sedikit untuk membuat perubahan yang nyata dalam hidup kita.

Jadi, bagaimana harus kita mulakan?





Cara-cara menjadikan azam baru anda satu kenyataan

1. Materialisasikan idea anda
Anda perlu tunjukkan kesungguhan anda dengan menulis azam baru anda di dalam diari atau organizer anda, atau tampalkannya di dinding. Dengan melihat azam baru anda dalam bentuk tulisan, anda telah mengambil langkah utama di dalam mencapai azam baru anda.





Kemudian buangkan perasaan negatif anda dengan berkongsi idea anda dengan keluarga dan rakan-rakan anda. Ini membolehkan mereka mengingatkan anda dari masa ke semasa sekiranya anda hilang semangat atau terlupa tentang azam baru anda. Dengan mengzahirkan keghairahan anda kepada orang lain, mereka akan dapat rasakan kesungguhan anda untuk berubah.

2. Pecahkan proses perubahan yang anda inginkan dan pantau dari masa ke semasa.
Adalah lebih baik untuk anda memecahkan satu matlamat utama yang ingin anda capai untuk tahun itu menjadi beberapa matlamat kecil yang ingin anda capai secara berperingkat-peringkat. Contohnya, jika anda ingin berhenti merokok dan telah terbiasa menghisap 20 batang dalam sehari, anda boleh membuat matlamat secara berperingkat iaitu mengurangkan tabiat merokok anda kepada 15 batang pada akhir bulan Mac, 10 batang pada akhir bulan Jun, dan seterusnya. Sudah tentu ianya kelihatan lebih mudah dan lebih praktikal, bukan?

Tidak cukup sekadar mencapai matlamat anda secara berperingkat-peringkat, anda juga perlu memantau pencapaian anda. Sekiranya anda berjaya seperti yang anda rancang pada setiap ‘checkpoint’, manjakan diri anda dengan sesuatu yang anda suka (selain dari yang berkaitan dengan tabiat buruk anda). Sebaliknya jika anda gagal mencapai apa yang anda rancangkan, kaji semula di mana kelemahan anda dan betulkan kesilapan anda.

3. Tumpukan pada satu matlamat dahulu
Adalah lebih baik untuk berjaya mencapai satu matlamat anda secara sempurna, daripada mempunyai 10 matlamat yang hanya berjaya anda capai secara berdikit-dikit.

4. Dapatkan nasihat pakar
Jika anda percaya anda berjaya tanpa bantuan orang lain, teruskan usaha anda. Jika tidak, dapatkan nasihat mereka yang pakar dalam bidang itu, atau mereka yang pernah mengalami masalah yang sama dan telah berjaya mengatasinya dalam hidup mereka. Di zaman ini anda boleh dapatkan nasihat dalam bentuk e-buku (ebook), video dan audio yang dihasilkan oleh mereka yang pakar dalam bidang ini, ataupun panduan oleh mereka yang telah berjaya mengatasinya dalam hidup mereka, pada kos yang jauh lebih murah daripada berjumpa dengan pakar dalam bidang tersebut. Nasihat-nasihat begini boleh anda dapati tentang panduan untuk berhenti merokok, berhenti mengambil minuman keras, motivasi diri, menangani masalah stres dan rendah diri, dan pelbagai masalah lagi.

Semoga tip-tip yang saya berikan dapat membantu anda untuk menjadikan azam baru anda satu kenyataan. Bayangkan bagaimana jika anda berjaya menjadikan azam baru anda satu realiti, sudah tentu tahun baru anda akan jadi lebih meriah dan menjadi pembakar semangat untuk mencipta azam-azam yang baru untuk tahun-tahun yang akan datang. Selamat Tahun Baru dan Semoga berjaya dalam apa jua yang anda rancangkan..









Bagaimana menikmati kehidupan ini seadanya

Apakah perkara dalam hidup ini yang anda perlukan untuk menikmati hidup dengan sepenuhnya? Adakah wang ringgit? Menjadi seorang terkenal atau selebriti? Atau memiliki sebuah pulau percutian dengan pantai eksotik? Atau memiliki sebuah mahligai bagai istana dengan apa sahaja yang anda ingini ada di dalamnya?

Jika seseorang datang dan memberitahu anda boleh menikmati hidup ini sebagai diri anda sekarang ini, tentu anda akan tergelak besar atau memperkecilkannya. Anda mungkin berfikir ada masih banyak perkara anda ingin capai dalam hidup dan bertungkus-lumus siang dan malam untuk mencapainya.

Teruskan membaca dan anda akan tahu 10 rahsia untuk menikmati hidup ini dengan sempurna dengan keadaan anda sekarang.

1. Sentiasa gembira
Kegembiraan bukanlah hasil dari suatu keadaan atau kejadian, tetapi ia adalah pilihan yang anda buat. Tidak kira apa masalah dan kekurangan yang anda hadapi anda boleh memilih untuk gembira. Perasaan gembira akan memberi kesan positif pada diri anda dan menjadikan hasil kerja kita lebih baik dan menyeronokkan.

"Kegembiraan tidak akan datang kepada mereka yang tidak tahu menghargai apa yang mereka ada"

- Tidak Bernama


"Kegembiraan bukan bergantung kepada siapa anda atau apa yang anda miliki, tetapi bergantung hanya kepada apa yang anda fikirkan"

Dale Carnegie (1888-1955), Penulis berbangsa Amerika


"Kejayaan bukan kunci kegembiraan. Kegembiraan adalah kunci kejayaan. Jika anda cinta apa yang anda sedang lakukan, anda akan berjaya"

Albert Schweitzer (1875-1965), Ahli teologi, ahli falsafah dan ahli fizik berbangsa Jerman



2. Sentiasa rasa cukup dengan apa yang ada
Rasa cukup dengan apa yang ada bukan bermakna anda tidak perlu berharap atau berjuang. Maksudnya adalah anda perlu mengejar impian dan cita-cita anda, tanpa melupakan segala keseronokan dan kemewahan yang sedang anda kecapi. Untuk rasa cukup dan bersyukur, anda perlu melihat kepada mereka yang tidak memiliki keistimewaan yang and ada. Untuk bercita-cita tinggi, anda perlu lihat mereka yang telah memiliki apa yang ingin anda capai.


3. Ghairah mencuba sesuatu yang baru
Berapa kali dalam hidup anda ingin melakukan sesuatu tetapi anda asyik bertangguh hingga akhirnya langsung tidak berbuat apa-apa tentangnya. Hidup akan meninggalkan kita tanpa sebarang amaran dan peringatan, hingga tanpa kita sedari banyak masa telah kita habiskan tanpa sebarang pencapaian dalam hidup. Masa adalah peluang berharga yang sering kita abaikan. Oleh itu, ayuh! Jangan pandang belakang atau bertangguh, laksanakan impian anda tanpa berlengah lagi.


4. Buangkan sifat tamak
Tamak adalah keinginan yang sukar dipenuhi kerana walaubagaimana banyak sekalipun yang kita miliki ia tidak akan rasa cukup atau puas hati. Ia juga perasaan untuk memiliki apa yang orang lain ada, sehingga apa yang dimiliki oleh orang itu lenyap barulah datang rasa puas hati. Ia adalah penyakit yang menular ke dalam jiwa raga hingga menyebabkan kita hilang apa yang kita miliki dan hidup dengan gundah gulana dan penuh kerisauan.


5. Membantu orang lain
Jika anda rasa ianya membazir masa dan harta, anda patut mencubanya. Kesannya hanya akan dapat dirasa apabila ianya dijadikan tabiat dan dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan.


"Dengan membantu orang lain, kita sebenarnya membantu diri sendiri, kerana segala kebaikan yang kita berikan akan melengkapkan pusingannya dan kembali kepada diri kita semula"


- Flora Edwards


6. Mengambil berat hal orang lain
Adakah anda prihatin untuk mengambil tahu tentang orang di sekeliling kita termasuk tukang cuci di pejabat kita atau sesiapa yang tidak kita kenal tetapi selalu berjumpa di dalam lif di bangunan tempat kita bekerja? Jika ya, tahniah! Ada telah satu langkah lebih dekat dalam menikmati hidup ini seperti sedia ada. Dengan cara ini anda boleh belajar banyak perkara tentang mereka untuk menjadikan hidup anda lebih bermakna, di samping menambah jaringan rakan anda dari pelbagai latarbelakang.

7. Berkongsi keseronokan dan kegembiraan dengan orang lain
Berapa kali anda telah membelikan sekotak coklat, atau membelanja rakan anda makan? Kegembiraan yang anda berikan kepada orang lain dari perkataan dan perbuatan anda akan memberi kesan yang luarbiasa kepada anda dan tidak dapat dikesan dengan alat elektronik yang paling canggih sekalipun.

"Beribu lilin boleh dinyalakan dari sebatang lilin, tanpa memendekkan nyawa sebatang lilin tadi. Kegembiraan tidak akan berkurang walaupun dikongsi dengan orang lain "

- Buddha (563 BC-483 BC



8. Hargailah setiap orang yang ada disekeliling anda
Setiap apa yang belaku dalam hidup anda bukanlah suatu kebetulan. Hargailah setiap kejadian sebagai sesuatu yang berharga dalam hidup anda. Ya, termasuklah musuh ketat dan mereka yang tidak anda senangi. Bukankah dengan adanya mereka anda dapat tahu betapa sabar dan cekalnya anda? Setiap perkara dan kejadian adalah sebahagian dari mekanisma untuk muhasabah diri anda untuk menjadikan ia lebih baik.


9. Hargailah kejadian anda sebagai seorang manusia
KIta diciptakan Tuhan bukanlah dengan sia-sia dan setiap detik kehidupan kita akan diperkirakan. Oleh itu gunakanlah setiap saat kehidupan kita di atas muka bumi ini untuk membawa kebaikan untuk diri kita, mereka di sekeliling ktia, hinggalah kepada setiap makhluk yang bernyawa di atasnya sekalipun.


10. Hargaiah setiap hari yang diberikan dalam hidup kita
Apa perasaan anda jika anda berjumpa doktor hari ini dan dia memberitahu anda hanya ada tiga hari untuk hidup? Bagaimana anda rasa dengan tiga hari tersebut? Sudah pasti anda akan berusaha untuk melaksanakan perkara penting dalam hidup untuk diri anda, mereka yang anda sayangi, malah kepada mereka yang anda abaikan selama ini. Inilah rahsia yang paling utama untuk anda menikmati hidup anda seadanya. Kita perlu hargai setiap hari yang berlalu dalam hidup kita. Kita perlu bersyukur kerana dapat melalui satu hari lagi dalam hidup kita sebelum kita melelapkan mata setiap malam. Dan jika kita dapat menjalani satu hari lagi esok, itu adalah hadiah yang amat besar kepada kita.

"Jadikanlah setiap fajar yang menyingsing sebagai permulaan hidup ini. Dan setiap senja yang berlabuh sebagai penutupnya. Dan biarlah setiap yang hidup dalam kehidupan singkat ini meninggalkan sedikit kebaikan yang dilakukan kepada yang lain"


- John Ruskin (1819-1900)


Pengkritik seni berbangsa Inggeris.






"Impikanlah kejayaan seolah-olah anda akan hidup selamanya,
Jalanilah kehidupan seolah-olah anda akan mati esok hari "
- James Dean

Bagaimana mengatasi masalah "Inferiority Complex"




"Inferiority Complex"
Perasaan rendah-diri berlebihan yang berterusan dalam diri seseorang sehingga menyebabkan tindakan agresif yang melampau untuk mengatasi masalah yang dihadapinya.

Apakah tanda-tanda seseorang mengalami masalah "inferiority complex"?
Menurut sebuah artikel, ada beberapa tanda yang boleh dilihat:
- terlalu sensitif jika dikiritik
- cuba mencari kekurangan orang lain supaya dirinya sendiri nampak lebih baik
- terlalu suka dipuji atau tidak suka mendengar pujian kerana tidak setuju dengannya
- cenderung menyalahkan orang lain apabila kesalahan dilakukan olehnya sendiri
- merasakan orang lain cuba menjatuhkan dirinya apabila berlaku sesuatu yang tidak baik kepada dirinya
- cuba mengelak persaingan kerana takutkan kegagalan
- suka memencilkan diri kerana takut dilihat dengan kelemahan yang ada

Masalah ini seringkali berpunca dari sesuatu punca contohnya pengalaman buruk masa kecil yang menjadikan perasaan rendah diri yang berlebihan

Cara mengatasinya bergantung kepada punca tersebut, dan salah satu cara berikut mungkin berkesan:

1. Mengubah kata-kata negatif terhadap diri sendiri seperti "Saya bodoh" atau "Saya orang yang paling hodoh di sekolah" . Ini boleh dilakukan melalui "Cognitive Behaviour Therapy" (CBT)

2. Menukar cara berfikir setiap kali mengalami perasaan rendah diri. Jika anda merasakan anda memiliki sesuatu sifat negatif (bodoh, hodoh dll) seperti yang orang katakan pada anda semasa kecil dahulu, ubahkan ia supaya anda merasakan bahwa anda adalah mangsa mereka yang sengaja hendak memburuk-burukkan anda dengan perkara yang tidak ujud. Ubahkan corak pemikiran itu setiap kali anda merasa rendah diri, sehinggalah secara tidak sedar anda akan berfikir dengan corak yang baru itu setiap kali anda menghadapi masalah tersebut

3. Perbaiki imej diri (self image). Imej diri adalah perasaan dalam diri anda bahawa orang lain melihat anda dengan sifat-sifat tertentu. Jika anda lalu di hadapan sekumpulan orang, dan anda merasa mereka melihat anda sebagai seorang yang bodoh, hodoh atau sifat-sifat negatif yang lain, ini menunjukkan imej diri anda telah rosak, dan ia boleh diperbaiki dengan meyakinkan diri anda bahawa anda tidak kelihatan bodoh, hodoh dan sebagainya.

4. Buangkan "label" yang anda letak pada diri anda seperti sibodoh, orang yang selalu gagal, dsb. Dengan membuang label ini anda akan mendapat kekuatan untuk membuang sifat rendah diri tersebut.

5. Gunakan hipnosis untuk menanamkan kepercayaan yang baru terhadap diri anda. Jumpa pakar dalam bidang ini untuk mendapat hasil yang benar-benar berkesan

6. Bina keyakinan kepada diri sendiri dengan memberikan idea baru terhadap diri anda dari perperspektif yang berlainan. Contohnya, "Aku taklah sebodoh yang aku sangkakan" atau "Tak ada rupapun aku masih boleh berjaya dalam hidup"


Sumber: 2KnowMySelf