Saturday, January 21, 2012

12 Teknik memperbaiki jualan retail anda


Perniagaan retail merujuk kepada penjualan produk atau barangan di kedai, gedung, butik atau kiosk untuk dijual kepada pengguna, yang mungkin disertakan dengan khidmat penghantaran.

Terdapat 12 teknik untuk memperbaiki jualan retail anda iaitu:

1. Kenali dan kaji kemampuan anda
Kenal pasti kelebihan dan kekurangan anda dalam melaksanakan tanggung-jawab anda di bidang pemasaran, kewangan, pentadbiran dan sumber manusia berkaitan dengan perniagaan anda. Fokus kepada apa yang anda dapat lakukan dengan baik, dan dapatkan bantuan untuk perlaksanaan yang lain-lain.

2. Buat perancangan awal
Rangkakan rancangan perniagaan anda untuk membantu anda membuat keputusan yang betul. Anda perlu dapatkan sebanyak maklumat yang perlu berkaitan dengan segmen pasaran, pasaran yang anda khususkan, khidmat pelanggan, pemilihan produk, promosi dan penetapan harga.

3. Fahami industri anda
Anda perlu ada komitment dan kesungguhan untuk memahami industri yang anda ceburi secara terperinci agar lebih berdaya saing.

Kajian menunjukkan 5 sebab kenapa perniagaan selalu gagal:
a) kurang pengetahuan tentang industri yang berkaitan
b) tiada wawasan yang tepat
c) strategi pemasaran yang lemah
d) gagal menetapkan matlamat pencapaian
e) kurang modal

4. Fahami pelanggan
Fahami apa yang dikehendaki oleh pelanggan anda dan apa yang dapat menarik minat mereka untuk membeli khidmat atau produk dari anda. Lihat dari perspektif pelanggan anda iaitu yang berkaitan dengan pembelian, persembahan, penjualan dan kata-kata yang boleh menarik minat mereka, bukan dari segi apa yang anda mahu. Tidak keterlaluan jika dikatakan pelangganlah yang menentukan sama ada perniagaan anda akan berjaya atau tidak.

5. Simpan rekod kewangan perniagaan anda dengan lengkap
Simpan rekod perniagaan yang sempurna untuk pemantauan wang keluar dan masuk perniagaan anda. Jika perniagaan ini dibandingkan dengan permainan, maka peralatan yang digunakan adalah komputer dan mata/point skornya adalah matawang (RM atau $). Rekod kewangan yang baik umpama pengendalian dalam dashboard sebuah kapal terbang, ia menentukan ketinggian, arah dan kelajuan perniagaan anda. Bayangkan jika anda cuba mengemudinya dalam keadaan buta menuju destinasi yang anda kehendaki...

6. Uruskan wang tunai dengan baik
Sebuah gedung yang unik dan hebat sekalipun tidak dapat kekal tanpa aliran tunai. Buat belanjawan dengan bijak dan mengetahui tempoh dan kitaran wang masuk dan keluar anda untuk mengelakkan aliran tunai yang tidak mencukupi

7. Amalkan sistem pengurusan yang betul
Ini melibatkan pengurusan masa, sumber, perkhidmatan pelanggan dan kakitangan di dalam perniagaan anda. Berikan ruang dan peluang untuk kakitangan anda untuk maju dengan layanan dan ganjaran yang setimpal, dan mereka akan membantu anda menjayakan perniagaan anda.

8. Bentuk imej yang khusus untuk perniagaan anda
Imej amat perlu dalam usaha pemasaran anda. Persepsi pelanggan terbentuk dari pelbagai aspek lain berkaitan dengan perniagaan anda.

Antaranya adalah:
- nama
- ketrampilan
- laman web
- lokasi kedai
- produk
- perkhidmatan pelanggan
- harga
- tatahias kedai & peragaan
- papan tanda
- kad perniagaan
- risalah, bahan iklan

9. Kawal stok anda
Kekurangan stok atau inventori akan menyebabkan permintaan pelanggan tidak dapat dipenuhi manakala pergerakan stok yang lembab akan meyebabkan stok lapuk atau ketinggalan zaman dan merugikan anda.

10. Fokus kepada keuntungan
Konsep asas dalam meletakkan harga adalah bergantung kepada anggaran nilai yang sanggup dibayar oleh pelanggan berdasarkan bekalan dan permintaan (supply & demand) yang ada. Untuk berdaya saing dan menarik lebih ramai pelanggan, anda perlu memberikan nilai yang lebih kepada pelanggan anda. Dapatkan diskaun pada harga pengilang dengan menyertai kumpulan peniaga yang berkenaan agar anda dapat membeli barangan lebih murah dari harga borong biasa.

11. Tuntut ilmu daripada pakar
Di dalam zaman yang serba pantas dan maju ini, terlalu kecil ruang yang ada untuk membuat kesilapan. Tanpa pengetahuan dan pengendalian yang betul, anda mungkin ketinggalan dan boleh membinasakan perniagaan anda. Memiliki idea baru yang segar dengan kedudukan yang selamat dalam dunia perniagaan ini adalah amat perlu.

12. Dapatkan pertolongan jika anda perlu
Anda perlu lakukan apa sahaja yang perlu untuk mendapatkan hasil yang anda ingini, walaupun dengan terpaksa bertanya dan mendapatkan bantuan yang berkaitan. Perkara yang tidak anda ketahui mungkin akan menyebabkan kerugian dan menyukarkan anda dalam mencapai matlamat perniagaan anda. Dapatkan khidmat pakar dengan kebolehan khusus dalam mencapai matlamat perniagaan anda, menjana keuntungan dan menyelamatkan perniagaan dan kewangan anda untuk jangkamasa yang lebih lama

Sumber: Bob Nelson, Businessknowhow.com

2 comments:

  1. Salam kenal.
    follow you dan baca entri.
    Jom dtg blog saya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam kenal juga. Terima kasih sudi singgah..
      Dah berkunjung ke blog anda.
      Tercuit hati baca Puisi "Antara Twitter Dan Facebook" :)
      Kisah benar ke?...

      Delete