Sunday, January 15, 2012

Mencari Keunikan Dalam Karya




Hari demi hari kita disajikan dengan lambakan cerita di televisyen, layar perak dan di dalam karya-karya novel kreatif. Mungkin kita pernah terfikir bahawa karya-karya ini seperti ketandusan idea memaparkan sesuatu yang sudah klisye (cliche) di mana plot dan cerita yag seakan dikitar semula dan ceritanya sudah dapat kita agak pengujungnya. Adakalanya kita seakan memberontak mencari sesuatu yang baru, bukan sekadar tangkap muat atau memenuhi kuota penerbitan, tidak kira dalam bentuk penulisan atau siaran di televisyen dan layar perak.

Tentu ada yang berkata bahawa lebih mudah memberi komen sebagai seorang pemerhati atau penonton, daripada menjadi mereka yang bertungkus lumus menyiapkan sesebuah novel untuk diterbitkan, atau menyiapkan produksi sesebuah drama atau filem. Mungkin benar ianya tidak semudah yang disangkakan, tetapi itu bukan alasan untuk kita meneruskan 'kebiasaan' kita tanpa mencari sesuatu yang unik dan segar untuk dikongsi bersama pembaca atau penonton.

Jika kita lihat karya yang telah berjaya, kita akan dapati tidak ada sesuatu yang jelas untuk kita jadikan panduan dalam menghasilkan karya baru dan segar di samping menjadi tarikan kepada pembaca atau peminat.

Ada di antara karya-karya yang terpaksa melalui jalan yang payah untuk menembusi pasaran walaupun menampilkan kelainan dari apa yang tersedia di dalam bidang tersebut.





J.K.Rowling yang terkenal dengan novel bersiri Harry Potter yang begitu hangat masakini dengan filem di layar perak, terpaksa merentas jalan yang sukar sebelum novelnya dapat diterbitkan. Lapan penerbit telah menolak karya pertamanya dalam tahun 1995 iaitu Harry Potter and the Philosopher's Stone untuk diterbitkan. Karya beliau yang tidak mempunyai sebarang kategori umur yang khusus ini telah diterbitkan akhirnya sebagai buku kanak-kanak 9-11 tahun. Pada awalnya timbul kontroversi yang ditimbulkan segolongan ibu bapa yang menyifatkan karya beliau sebagai mengajar ilmu sihir dan mempunyai kesan buruk kepada kanak-kanak. Beliau juga terpaksa menukar nama pena untuk mengelakkan pembaca lelaki tidak berminat membaca karya hasil seorang wanita. Walaubagaimapun, cabaran yang dilalui akhirnya membuahkan hasil apabila novel bersirinya telah berjaya diterbitkan sebanyak 7 judul, menjadi filem box-office dan telah memenangi beberapa anugerah dan penghargaan dalam bidang penulisan.




Terdapat juga karya yang bermula sebagai projek animasi tahun akhir beberapa orang pelajar dan akhirnya menjadi karakter-karakter yang diterima masyarakat, yang kita kenal sebagai Upin dan Ipin - pasangan kembar yatim-piatu. Perjalanan menghasilkan Upin dan Ipin bermula apabila tiga orang pelajar Universiti Multi Media (MMU) menghasilkan klip animasi pendek bertajuk Misi Mustahak yang memenangi empat anugerah termasuk anugerah MVA dalam tahun 2005. Usaha mereka telah menarik perhatian Burhanuddin Md Radzi dan akhirnya lahirlah Les' Copaque Production yang menghasilkan karakter Upin dan Ipin. Kejayaan siri animasi pendek Upin & Ipin di televisyen dan filem Geng Pengembaraan Bermula memberi suntikan untuk Les' Copaque menghasilkan 42 episod baru siri Upin & Ipin dan filem Upin & Ipin Pengembaraan di Angkasa. Filem yang menelan belanja RM6 juta ini akan dibuat di dalam versi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Lebih membanggakan lagi, Disney Channel telah menunjukkan minat untuk membeli 42 episod siri Upin & Ipin ini dan Geng Pengembaraan Bermula untuk tayangan di 17 negara.




Perjalanan ketiga-tiga pelajar MMU ini ada sedikit-sebanyak persamaan dengan filem Tiga budak Melayu yang mengisahkan tiga orang pelajar jurusan perfileman yang berhempas-pulas mengumpul sumber kewangan untuk menjayakan projek tahun akhir pengajian mereka yang juga merupakan filem pertama terbitan mereka. Isu yang hendak diketengahkan adalah kemelut menyatukan modal dan ilmu dalam pembikinan sesebuah karya yang bermutu. Filem yang merupakan hasil kerja 40 pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FACT) ini diarahkan oleh Mohd. Faizal Lockman Hakim, juga seorang pelajar FACT UiTM.




Di samping menghasilkan karya yang unik dan diterima ramai, penulis juga memikul tanggungjawab besar untuk menyampaikan mesej positif kepada masyarakat dengan cara yang bijak dan berkesan. Jika diteliti isi al-Quran sendiri, kita sebagai manusia disuruh mengkaji rahsia alam ini yang menjadikan kita lebih mengerti akan kekuasaan Yang Maha Pencipta. Ramai ulama Islam terdahulu telah menguasai bidang-bidang seperti sains dan teknologi (Al-Hawarizmi), matematik (Al-Khinzi), fizik (Al-Hazimi), perubatan (Ibnu Sina) dan kaji bintang (Al-Biruni). Sebagai penulis, ini adalah peluang untuk memupuk semangat generasi baru untuk mendalami ilmu-ilmu ini melalui karya penulisan yang memberi perspektif baru kepada pengkajian ilmu-ilmu ini.











Keunikan sesebuah drama atau filem bukan datang dari betapa besar modal sesebuah produksi atau kehebatan ilmu menggarap pelbagai efek visual canggih dan cerita yang hebat. Begitu juga keunikan sesebuah karya penulisan itu bukan terletak pada kehebatan bahasa yang digunakan atau betapa mendalamnya ilmu seseorang dalam ilmu penulisan, walaupun kriteria-kriteria ini banyak membantu. Ianya lahir dari ketajaman fikiran dan keresahan untuk mencari sesuatu yang baru dan berkualiti, di samping kesabaran, ketabahan dan jati diri yang kuat dalam meneruskan pencarian melalui kajian terperinci, bukan sekadar mengisi kekosongan kuota yang ada atau menyiapkan manuskrip untuk diterbitkan, atau juga menyiapkan produksi mengikut dateline yang dikehendaki.

No comments:

Post a Comment