Di dalam lambakan karyawan (dan karyawati) lama dan baru ini, satu soalan masih menjadi tumpuan iaitu sejauh manakah karya-karya kita telah benar-benar bebas daripada pengaruh Barat dan sejauh manakah kita berjaya menghasilkan karya berasakan keunikan pemikiran, budaya, norma dan nilai budaya Malaysia dengan masyarakat berbilang kaum ini.
Jika dibuka lembaran sejarah, semenjak zaman 1930-an, sastera Malaysia banyak dipengaruhi penulisan Balai Pustaka, Indonesia dan kemudiannya dipengaruhi oleh kesusasteraan Barat.
Di dalam artikel Utusan Malaysia bertajuk Sastera Malaysia - Merdekakah dunia kreatif kita?, penulis S.M.Zakir berkata, "Imej Malaysia dan acuan budaya tempatan dilukiskan dengan baik tetapi tidak dalam bidang kritikan. Kritikan kita masih lemah, tidak kuat dan jauh ketinggalan berbanding Barat. Mungkin boleh disimpulkan dalam aspek ini kita masih berkiblatkan teori-teori asing."
Menurut Syamsudin Othman, pensyarah UPM pula, sastera Malaysia dalam aspek penulisan kreatif berjaya menemukan akarnya sendiri walaupun terbina daripada pengaruh asing.
Terdapat penulis generasi muda tanahair yang berjaya menghasilkan karya-karya eksperimental yang terkeluar daripada kepompong struktural. Contohnya adalah 1515 karya Faisal Tehrani yang berani membuat penafsiran semula fakta sejarah dengan gaya historisisme baru yang biasanya digunakan dalam penulisan pascamoden di Barat. Pendekatan yang sama juga digunakan dalam Sangheeta oleh penulis mapan tanahair, Azizi Abdullah.
(Sumber rujukan : "Sastera Malaysia - Merdekakah dunia kreatif kita?", Utusan Malaysia)
Kota Buku Shenzen
Dalam pada itu, rancangan telah dibuat untuk membina Kota Buku Kuala Lumpur (KBKL), dengan peruntukan projek bernilai RM20 juta yang akan menghimpunkan pihak terbabit dalam industri perbukuan di bawah satu bumbung.
Antara objektif KBKL adalah:
1. Menyediakan infrastruktur untuk usahawan buku tempatan beroperasi di bawah satu bumbung
2. Pusat pameran dan jualan buku-buku terbitan penerbit tempatan
3. Pusat sehenti untuk pelbagai urusan berkaitan dengan dunia penerbitan termasuk penterjemahan dan rundingan hak
4. Pusat pengumpulan maklumat tentang perkara berkaitan industri buku negara.
Konsep kota buku ini bukanlah satu perkara baru kerana ianya telah wujud di negara-negara luar seperti di Iran (Kompleks Bandaraya Buku Tehran), China (Shenzen Book City) dan Korea Selatan (Paju Book City).
Adalah diharapkan dengan ujudnya KBKL ini, dunia penulisan tanahair akan menjadi lebih mantap dan rancak dalam menghasilkan karya-karya yang bermutu dan memberikan peluang-peluang baru untuk para penulis dan penerbit tanah air.
No comments:
Post a Comment