Sunday, January 15, 2012

Bulan Syaaban








Ketibaan Syaaban menandakan hanya ada beberapa minggu sahaja lagi sebelum tibanya Bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan yang penuh keberkatan dan keampunan buat mereka yang mencari keredhaan Allah di dalamnya.

Antara peristiwa utama yang berlaku di dalam bulan Syaaban adalah pertukaran kiblat untuk menunaikan sembahyang atau solat dari masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Mekah.

Jika bulan Rejab kita kaitkan dengan Peristiwa Israk Mikraj yang dialami Baginda Rasulullah s.a.w, bulan Syabaan kita ingati dengan kehadiran Malam Nisfu Syaaban pada 15 Syaaban. Meskipun tiada sumber yang sahih tentang pertukaran buku amalan manusia pada malam tersebut (bahawa buku amalan pada tahun lepas akan dinaikkan ke langit dan buku baru akan dibuka pada malam tersebut), namun telah menjadi amalan umat Islam terutamanya di negara kita untuk membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dengan niat yang berlainan bagi setiap satu bacaan.

Bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan adalah peluang untuk kita memperbaiki dan mempertingkatkan amalan di dalam kehidupan kita, dan terpulanglah kepada kita untuk mengambil kesempatan yang hadir hanya sekali setiap tahun ini, atau membiarkan ianya berlalu dalam kehidupan kita tanpa sebarang perubahan...



Pengenalan



Setelah diserikan dengan Bulan Rejab yang bersangkutan dengan kejadian Israk Mikraj yang berlaku ke atas junjungan kita Baginda Muhammad s.a.w, Bulan Syaaban pula menyusul dalam kalendar Hijrah.




Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada ketika itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Setelah kedatangan Rasulullah s.a.w, beliau mengekalkan nama tersebut sehinggalah kini.

Kelebihan bulan Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa bulan Rejab adalah kesempatan untuk kita memohon keampunan dari segala dosa yang telah dikerjakan, di samping memperbaiki diri dari segala macam cela sebelum tiba bulan Ramadhan yang merupakan masa untuk menerangkan hati dan jiwa kita.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:




1. Memperbanyakkan puasa sunat



Terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Oleh itu adalah wajar bagi kita mencontohi Baginda s.a.w dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi mengagungkan bulan Syaaban ini.

2. Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.



Mafhum sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)




3. Bertaubat



Mafhum hadis yang diriwayatkan oleh Umamah Al Bahili r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."



Malam Nisfu Syaaban

Terdapat riwayat bahawa Malam Nisfu Syaaban adalah masa penutupan buku amalan setiap manusia dan dibuka buku amalan yang baru, namun perkara ini tidak dapat dikesan dari sumber-sumber yang sahih. (Sumber: MyMasjid)





Hadith yang boleh dipegang dalam masalah nisfu Sya'aban yang mana mafhum sabda Nabi s.a.w:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Hadis riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).



Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh).

Hadith ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca Yasin, solat-solat tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.

Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid.



...Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in).




...Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas."



(Sumber: Al-Qayyim)






Kelebihan Malam Nisfu Syaaban
Nisfu Syaaban (yang bersamaan dengan tarikh 15 Syaaban) pada tahun ini jatuh pada hari Khamis 6 Ogos.

Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)





Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa.



Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata:
“Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.” (Sumber: Al-Azim)

Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majjah, maksudnya:
"Dari Yahya ibni Abi Khasir, dari Irwah dari Aisyah Radiallahuanha berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala menurunkan rahmat-Nya (memakbulkan doa) pada malam Nisfu Syaaban ke langit bawah (langit dunia), maka Allah Subhanahu Wataala mengampunkan hamba-hamba-Nya lebih banyak bilangannya daripada bulu kambing Kabilah Bani Kalib".

Keagungan malamnya dengan malam Nisfu-Syaaban sepertimana keagungan Rejab dengan malam Israk-Mikrajnya dan keagungan Ramadhan dengan malam lailatulqadarnya.



Maka pada malam Nisfu-Syaaban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya:-"Angkat kepala mu ke langit,itulah malam yang dibukakan pintu langit "

Cara umat Islam sekarang ini menghidupkan malam Nisfu Syaaban adalah dengan membaca Surah Yaasiin tiga kali selepas Sembahyang Fardu Maghrib dan setiap kali lepas membaca Surah Yaa Siin, mereka membaca doa. Pada bacaan Surah Yaa Siin pertama diniatkan dengan memohon panjang umur, pada bacaan kali kedua diniatkan dengan memohon agar dijauhkan daripada bala dan pada bacaan kali ketiga diniatkan memohon murah rezeki yang halal. (Sumber: Jabatan Hal Ehwal Agama Brunei)







Bulan Syaaban adalah peluang untuk kita mempersiapkan diri kita dalam menempuh ibadah puasa dan bersolat tarawih dalam bulan Ramadhan. Dalam pada itu kita perlu bijak dan berhati-hati dalam membezakan antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan amalan yang merupakan kebiasaan kita pada hari ini. Amalan-amalan baik juga janganlah hendaknya kita hadkan kepada bulan Rejab dan Syaaban sahaja, namun harus kita jadikan amalan sepanjang tahun.



Semoga peluang yang tiba di dalam bulan Syaaban ini dapat saya ambil iktibar dan menfaatkan sebaiknya, dan begitu juga anda semua, Insya'Allah.




Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment