Dari sudut dunia penulisan, kebolehan membawa pembaca ke suatu alam yang lain dari penghidupannya sendiri menerusi pembacaan dan menghayati kehidupan dari sudut yang berlainan dan menyampaikan mesej dengan cara yang tidak disedari oleh pembaca adalah satu anugerah yang diberi kepada para penulis. Setiap manusia diberikan senario kehidupan yang berbeza dan hanya unik kepada dirinya sendiri dan dengan adanya dunia penceritaan, kita berpeluang merasai kehidupan dalam diri orang lain yang digambarkan di dalam cerita tersebut, tidak kira melalui pembacaan buku atau menonton drama dan filem atau sekadar mendengar cerita dari orang lain.
Walaupun hari ini kita dapati banyak mesej yang diselitkan di dalam pelbagai novel kreatif tetapi hakikatnya masih banyak lagi isu dan kemelut kehidupan masyarakat yang belum habis diperkatakan. Banyak lagi peristiwa yang kita hadapi saban hari yang boleh ditimbulkan persoalannya di dalam penulisan untuk menjadi satu pengalaman baru dan panduan kepada para pembaca. Ini termasuk isu keruntuhan akhlak dalam masyarakat akibat gejala-gejala sosial yang menular tanpa dibendung, atau kemelut kehidupan akibat tekanan mental, krisis ekonomi, bencana alam dan banyak lagi.
Jika dilihat dari perspektif drama dan filem pula, isu-isu masyarakat yang sensitif banyak diperkatakan walaupun mengundang pelbagai kontroversi dari masyarakat umumnya, hinggakan kepada pemilihan tajuk juga boleh menjadi bahan kritikan. Sebagai contoh filem-filem seperti Perempuan, Isteri dan ... dan yang terbaru Anu Dalam Botol dikritik sebagai sekadar memancing penonton dengan judul yang mengundang andaian dan tanda tanya. Sama ada perlu atau tidak bersifat terus-terang dengan mengisi judul yang penuh, itu adalah satu persoalan yang lain. Hakikatnya isu-isu seperti ini adalah satu cabaran besar untuk dipaparkan dengan mesej dan matlamat tertentu, bukan sekadar mengetengahkan masalah yang kita hadapi masa ini.
Karya-karya Allayarham Yasmin Ahmad seperti Sepet, Gubra, Mukhsin, Muallaf dan Talentime banyak memaparkan isu-isu keluarga, agama, interaksi antara kaum dan cinta dengan cara yang agak berlainan biasa, dan adakalanya mengundang kontroversi. Kelebihan beliau adalah cara yang digunakan dalam mengetengahkan satu-satu isu dengan cara membuatkan kita rasa agak terkejut dan terfikir apakah tindakan kita jika berhadapan dengan situasi yang sama, walaupun teknik yang digunakan mengundang pelbagai kontroversi.
Cabaran seorang karyawan, sama ada di bidang penulisan, drama atau filem adalah untuk memaparkan satu-satu aspek kehidupan yang membolehkan pembaca atau penonton menjadi sebahagian daripada situasi itu dan berfikir bagamana untuk berdepan dengan masalah tersebut sekiranya mereka adalah karakter yang ditonjolkan.
Beberapa contoh yang boleh kita ambil daripada karya-karya terbaru yang ada:
1. Kisah pengorbanan bapa tunggal membesarkan anak perempuan tanpa isterinya
Papadom adalah filem terbaru Afdhlin Shauki yang mengisahkan seorang bapa tunggal yang terpaksa melalui cabaran membesarkan anak perempuan tunggalnya selepas kematian isterinya. Sifat Papa Dom (Saadom) lakonan Afdhlin Shauki yang terlalu risau anaknya akan terjebak dengan aktiviti tidak bermoral menyebabkan anaknya Miasara (lakonan Liyana Jasmay) berasa tidak selesa. Mesej yang ingin dipaparkan adalah mengongkong kebebasan bukanlah cara untuk mengawal anak, sebaliknya perlu dipupuk dengan nilai-nilai kasih sayang yang tinggi.
2. Cabaran perkahwinan usia remaja tanpa restu ibu
Syurga di Hati adalah sebuah novel tulisan Normah Abdullah atau nama penanya Fatin Nabila, yang mengisahkan pergolakan rumahtangga Erin dan Ariff akibat perkahwinan pada usia remaja tanpa mendapat restu ibu Erin. Pembaca dibawa menyelami kegelisahan Erin ketika suaminya hilang berbulan-bulan tanpa berita semasa dia sarat mengandung anak sulung mereka. Kejutan disimpan tentang perkara yang berlaku kepada Ariff.
3. Pejalanan spiritual seorang gadis cina mencari hidayah
Wo Ai Ni Allah adalah hasil tulisan penulis Indonesia Vanny Chrisma W, mengisahkah seorang gadis cina yang mencari jawapan kepada kehampaan jiwa, rohani dan sosial di dalam hidupnya, dan dalam pencarian punca kecelaruan itu, akhirnya dia bertemu dan mengerti siapa Tuhannya
4. Pergolakan hati wanita memilih pasangan hidup
Novel Lentera Mustika adalah hasil tulisan Nisah Haron mengisahkan Profesor Madya Dr. Ainur Mustika yang berada dalam dilema untuk memilih pasangan hidupnya. Meskipun dia sedar hakikat kehidupan wanita hanya lengkap apabila menjadi seorang isteri, tetapi masalah keruntuhan rumahtangga menjadi kerisauannya untuk membuat keputusan.
5. Kehidupan remaja mengharungi masalah keluarga dan kehidupan
La Dolce Amira adalah sebuah drama bersiri dengan skripnya ditulis oleh Datuk Paduka Shuhaimi Baba, yang mengisahkan 5 orang remaja mengharungi pelbagai pergolakan hidup bersama, bermula dari institusi pengajian tinggi hinggalah ke alam pekerjaan. Amira yang merupakan watak utama drama ini, akhirnya berjaya menerbitkan sebuah buku mengisahkan perjalanan hidupnya bersama rakan-rakan yang lain. Kehebatan drama ini adalah kejutan pada penghujungnya berkaitan dengan Vee yang mengalami komplikasi jantung dan memerlukan penderma, dan juga babak di mana Amira dan abangnya Ariff diserang perompak bersenjatakan parang yang digambarkan begitu realistik sekali.
6. Alam percintaan tidak seperti yang diimpikan dengan pelbagai halangan
Lagenda Budak Setan tentu tidak asing lagi kepada peminat hasil tulisan Ahadiat Akashah walaupun telah lebih 20 tahun novel ini berada di dalam dunia penerbitan tanahair. Novel trilogi yang memaparkan watak-watak seperti Kasyah, Ayu, Katrina dan Hisham ini dihidangkan dengan tiga siri bersama Katrina dan Lagenda Berakhir. Kehebatan karya novel ini adalah dalam keupayaannya merangkumkan pelbagai kisah kehidupan seperti dunia remaja, cinta sejati, kesetiaan, pengorbanan, pembalasan dendam dan hakikat bahawa jodoh dan maut adalah ketentuan Tuhan dengan cara yang menyentuh emosi.
Akhir-akhir ini semakin ketara usaha mengadaptasi karya novel menjadi filem seperti Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih, dan Lagenda Budak Setan juga tidak terkecuali. Filem ini diarahkan oleh Sharad Sharan yang pernah mengarah filem Diva. Lebih menarik lagi, penulis asalnya Ahadiat Akasyah juga terlibat dalam penulisan skripnya. Mengadaptasi novel menjadi sebuah filem bukanlah perkara yang mudah kerana peminat setia novel tersebut telah serasi dengan jalan cerita asalnya dan cabaran untuk mengisi waktu tayangan selama 2 jam dengan jalan cerita dari novel asal. Bagi yang telah menonton Ayat-ayat Cinta, tentu ada mendengar keluhan pembaca novel tersebut tentang babak yang telah diubah dari jalan cerita asalnya untuk disesuaikan dengan filem. Pada hakikatnya, penampilan karya dalam novel dan layar perak adalah dua perkara yang berbeza dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.
7. Kehidupan sebagai pasangan kembar siam
Sebenarnya terlalu luas skop perkara-perkara yang boleh diketengahkan di dalam penceritaan sama ada penulisan kreatif, drama atau filem. Kebolehan mengetengahkan karya yang hebat sehingga boleh dijiwai oleh pembaca atau penonton serta dibayangi oleh babak atau dialog tertentu selepas pembacaan atau tontonan menandakan kejayaan kepada karya tersebut. Keupayaan sesebuah karya untuk mengungkai persoalan berkaitan dengan masalah masyarakat dan remaja juga boleh menjadikan karya itu sesuatu yang bermenfaat, bukan sekadar pengisian masa lapang atau hiburan semata-mata.
No comments:
Post a Comment