Sebenarnya artikel ini bukan hanya sesuai dibaca menjelang awal tahun sahaja, tetapi bagus untuk disemak pada bila-bila masa jua – sama ada di awal, di pertengahan atau akhir tahun sekalipun. Sebenarnya dalam keghairahan untuk membuat satu azam baru yang hebat, satu persoalan timbul, iaitu “Adakah kita telah mencapai matlamat atau azam yang kita rancangkan tahun lepas?”
Anda mungkin masih boleh ingat jawapan anda semasa ditanya tentang azam baru anda tahun lepas. Mungkin anda salah seorang daripada mereka yang menjawab dengan semangat berkobar-kobar dan penuh ghairah semasa menerangkan azam baru anda dan setiap perkara baru yang ingin anda capai. Dan sekiranya ditanya tentang sejauh mana pencapaian anda beberapa bulan kemudian, adakah anda masih bersemangat dan ghairah seperti sebelumnya. Sekiranya ya, Tahniah! Jika tidak, anda mungkin seperti beberapa orang lain yang menjawab seperti ini:
1. “Saya tidak ada azam baru sebab saya tidak pernah capai apa yang saya rancangkan”
2. “Mula-mula saya begitu bersemangat, tapi sekarang sudah tidak minat untuk capai azam baru saya”
Satu persoalan timbul, iaitu sama ada azam baru ini hanya sekadar satu gimik secara psikologi yang kita reka untuk memeriahkan sambutan tahun baru kita, atau ianya satu petanda bahawa kita ingin membuat satu pembaharuan dalam hidup kita?
Kenapakah kita begitu bersemangat pada mulanya, tetapi setelah beberapa bulan berlalu, ianya hanya tinggal sebagai satu agenda usang dalam diari atau kalendar kita, atau sekadar satu memori dalam ingatan kita? Kenapa kita begitu ghairah pada permulaannya, tetapi hilang minat untuk menjadikan azam baru kita satu kenyataan? Jika ini tidak berlaku pada anda dan anda telahpun berjaya mencapai azam yang anda buat tahun lepas, Tahniah! Anda tidak perlu membaca artikel ini. Jika tidak, mari kita selidik bersama-sama antara sebab-sebabnya.
Kenapa begitu sukar untuk mencapai azam baru saya?
Menurut pakar, ada beberapa sebab-sebab yang umum:
1. Tidak cukup komitmen
Ini mungkin berlaku kerana:
a) Anda tidak menulis apa azam baru yang ingin anda capai
b) Anda tidak berkongsi azam baru anda dengan orang lain. Ini mungkin kerana anda takut atau malu akan diperkecilkan oleh orang lain sekiranya anda tidak berjaya mencapai matlamat anda
c) Anda berfikir bahawa azam baru anda hanyalah satu perkara baru yang bagus, tetapi tidak begitu penting untuk anda capai
d) Anda berfikir bahawa sekiranya anda tidak berjaya mencapainya tahun ini, anda boleh melaksanakannya tahun depan atau ppada tahun-tahun yang seterusnya
2. Tiada perancangan yang baik dan terperinci tentang cara-cara untuk mencapai azam tahun baru anda
3. Matlamat yang anda pilih sebagai azam baru anda terlalu banyak, terlalu kabur, terlalu rumit atau terlalu tinggi
Hanya sekadar agenda sampingan
Sekiranya anda bekerja dengan majikan, mungkin anda telah biasa dengan tugasan-tugasan penting yang diamanatkan oleh ketua atau bos anda; dan sekiranya anda bekerja sendiri, tentu anda telah maklum akan kerja-kerja yang perlu anda laksanakan untuk memenuhi citarasa pelanggan anda. Apabila kita berhadapan dengan kesuntukan masa menjelang ‘dateline’ dengan ratusan tugasan yang belum dapat kita laksanakan, tubuh kita akan bertindakbalas dengan deruan adrenalin ke segenap pelusuk tubuh dan otak kita, mengakibatkan kita berasa cemas dan akan tergesa-gesa untuk menyiapkan segala urusan kita. Ini adalah kerana kita tahu akibat kegagalan kita untuk menyempurnakan tugasan kita – sama ada kita akan dimarahi bos kita, atau kita akan kehilangan pelanggan kita yang berharga.
Malangnya, apabila berhadapan dengan azam baru yang belum kita capai lagi menjelang hujung tahun, kita hanya beranggapan ianya sebagai ‘bonus’ sekiranya kita berjaya mencapainya. Mungkin sememangnya ianya hanyalah sekadar agenda tambahan, tetapi apakah yang digambarkan oleh sikap kita yang sebegitu tentang diri kita?
Semuanya berkaitan dengan menetapkan matlamat anda
Mungkin persoalan utamanya bukanlah sama ada anda telah mencapai azam baru anda atau tidak, tetapi sebenarnya adalah tentang kesungguhan kita untuk mencapai matlamat yang kita rancangkan. Kita mungkin telah terbiasa untuk melambatkan atau menangguhkan perkara yang kita rasa tidak begitu penting, atau melakukan sesuatu tugasan hanya apabila kita terdesak atau teramat perlu melakukannya. Kita seolah-olah rela membiarkan hidup kita berlalu tanpa pencapaian yang jitu dan mantap dalam hidup kita, daripada berusaha lebih sedikit untuk membuat perubahan yang nyata dalam hidup kita.
Jadi, bagaimana harus kita mulakan?
Cara-cara menjadikan azam baru anda satu kenyataan
1. Materialisasikan idea anda
Anda perlu tunjukkan kesungguhan anda dengan menulis azam baru anda di dalam diari atau organizer anda, atau tampalkannya di dinding. Dengan melihat azam baru anda dalam bentuk tulisan, anda telah mengambil langkah utama di dalam mencapai azam baru anda.
Kemudian buangkan perasaan negatif anda dengan berkongsi idea anda dengan keluarga dan rakan-rakan anda. Ini membolehkan mereka mengingatkan anda dari masa ke semasa sekiranya anda hilang semangat atau terlupa tentang azam baru anda. Dengan mengzahirkan keghairahan anda kepada orang lain, mereka akan dapat rasakan kesungguhan anda untuk berubah.
2. Pecahkan proses perubahan yang anda inginkan dan pantau dari masa ke semasa.
Adalah lebih baik untuk anda memecahkan satu matlamat utama yang ingin anda capai untuk tahun itu menjadi beberapa matlamat kecil yang ingin anda capai secara berperingkat-peringkat. Contohnya, jika anda ingin berhenti merokok dan telah terbiasa menghisap 20 batang dalam sehari, anda boleh membuat matlamat secara berperingkat iaitu mengurangkan tabiat merokok anda kepada 15 batang pada akhir bulan Mac, 10 batang pada akhir bulan Jun, dan seterusnya. Sudah tentu ianya kelihatan lebih mudah dan lebih praktikal, bukan?
Tidak cukup sekadar mencapai matlamat anda secara berperingkat-peringkat, anda juga perlu memantau pencapaian anda. Sekiranya anda berjaya seperti yang anda rancang pada setiap ‘checkpoint’, manjakan diri anda dengan sesuatu yang anda suka (selain dari yang berkaitan dengan tabiat buruk anda). Sebaliknya jika anda gagal mencapai apa yang anda rancangkan, kaji semula di mana kelemahan anda dan betulkan kesilapan anda.
3. Tumpukan pada satu matlamat dahulu
Adalah lebih baik untuk berjaya mencapai satu matlamat anda secara sempurna, daripada mempunyai 10 matlamat yang hanya berjaya anda capai secara berdikit-dikit.
4. Dapatkan nasihat pakar
Jika anda percaya anda berjaya tanpa bantuan orang lain, teruskan usaha anda. Jika tidak, dapatkan nasihat mereka yang pakar dalam bidang itu, atau mereka yang pernah mengalami masalah yang sama dan telah berjaya mengatasinya dalam hidup mereka. Di zaman ini anda boleh dapatkan nasihat dalam bentuk e-buku (ebook), video dan audio yang dihasilkan oleh mereka yang pakar dalam bidang ini, ataupun panduan oleh mereka yang telah berjaya mengatasinya dalam hidup mereka, pada kos yang jauh lebih murah daripada berjumpa dengan pakar dalam bidang tersebut. Nasihat-nasihat begini boleh anda dapati tentang panduan untuk berhenti merokok, berhenti mengambil minuman keras, motivasi diri, menangani masalah stres dan rendah diri, dan pelbagai masalah lagi.
Semoga tip-tip yang saya berikan dapat membantu anda untuk menjadikan azam baru anda satu kenyataan. Bayangkan bagaimana jika anda berjaya menjadikan azam baru anda satu realiti, sudah tentu tahun baru anda akan jadi lebih meriah dan menjadi pembakar semangat untuk mencipta azam-azam yang baru untuk tahun-tahun yang akan datang. Selamat Tahun Baru dan Semoga berjaya dalam apa jua yang anda rancangkan..
No comments:
Post a Comment