Sunday, January 15, 2012

Kemanisan Umrah

Alhamdulillah, dengan izin Allah s.w.t saya telah diberi peluang olehNya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah dalam bulan April 2010.

Rombongan kami bertolak dari Masjid Jamek Haji Ahmad Shah, Pontian dengan bas ke Lapangan Terbang KLIA. Di KLIA, pasport dan tiket kami diedarkan oleh Ejen yang menguruskan perjalanan kami.

Kami memulakan perjalanan kami ke Madinah terlebih dahulu untuk bersolat di Masjid Nabawi dan menziarahi Raudah dan makam Baginda s.a.w serta para sahabatnya Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar radiallahuanhum.

Rombongan kami di bawa ke beberapa lokasi termasuk sebuah masjid, ladang unta, tapak perjanjian Hudaibiyah, Jabal Rahmah dan Bukit Uhud.

Saya sempat menziarahi Tanah Perkuburan Baqiq selepas subuh sebelum bertolak ke Mekah.

Setibanya di Mekah, selepas check-in ke Hotel kami di Zahrath Kamil, kami mengerjakan umrah buat pertama kali dengan bimbingan Mutawif yang memandu jemaah kami. Sewaktu solat zuhor kami berpusu-pusu untuk mendapatkan tempat agar dapat melihat Kaabah dengan jelas. Entah macamana selepas beberapa lama merenung Kaabah yang diselimuti baldu hitam berbenang emas, hati tiba-tiba cair dan airmata mula mengalir. Dada terasa sebak, tetapi saya cuba tahan kerana tidak mahu menjadi tontonan jemaah yang ada.

Semasa berbual dengan ahli rombongan, saya terdengar rancangan beberapa orang yang ingin mendaki Bukit Thur, di mana terdapat gua tempat persembunyian Nabi s.a.w ditemani oleh Abu Bakar radiallahuanhum. Kami bertolak selepas asar dengan membawa sejadah, lampu picit, air mineral dan tongkat, seperti yang dinasihatkan oleh pemandu kumpulan pendaki kami Haji Shahril.

Setiba di Bukit Thur suasana masih terang tetapi matahari sudah meremang kemerahan senja. Saya sempat mengambil gambar semasa kami mula mendaki, dan rupa-rupanya itulah satu gambar kenangan kerana bateri kamera telah habis. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang berlaku. Semasa kami mendaki tangga demi tangga hingga ke separuh perjalanan, suasana sudahpun gelap. Kami berhenti di tempat musalla yang disediakan dan menunaikan solat maghrib bersama beberapa orang yang ada di situ.

Kami meneruskan perjalanan. Semasa perjalanan kami mendaki, terdapat beberapa orang arab yang berkhidmat membaiki anak tangga. Saranan saya sekiranya anda ingin mendaki Bukit Thur, sediakanlah duit kecil untuk disedekahkan kepada mereka.

Setiba di puncak suasana telah gelap gelita. Kami menunaikan solat Isyak di tempat lapang yang disediakan. Terasa sayup bersolat dalam keadaan gelap di atas tebing. Sayup-sayup cahaya bandar di sekeliling dan kami dapat melihat Masjidil Haram yang bercahaya dari jauh

Semasa berkunjung ke gua tersebut, kami tidak dapat memastikan dengan tepat tempat sebenar Nabi berbaring di riba Saidina Abu Bakar kerana terdapat dua tempat yang mungkin. Tambahan pula dalam gelap hanya dengan samar cahaya lampu suluh.

Semasa hendak turun ada sepasang suami-isteri (dari Turki jika saya tidak silap) yang tidak membawa lampu suluh. Walaupun amat memerlukannya, saya berikan lampu suluh saya. Lagipun masih ada dua lampu suluh lagi. Semasa menuruni Bukit Thur, kami berpecah dua jemaah - saya bersama Haji Shahril dan tiga ahli jemaah lagi dalam kumpulan yang lain. Agaknya kerana terlalu banyak minum semasa di puncak bukit tadi Haji Shahril berjalan memuruni anak tangga dengan pantas hingga saya ketinggalan dalam kegelapan. Kumpulan yang satu lagi masih jauh di belakang, menuruni dengan relaks. Saya terperangkap dalam kegelapan, hanya di kelilingi batu- batu Bukit Thur. Entah macamana dengan kuasa Allah suasana menjadi terang seperti bulan purnama dan saya dapat melihat dan menuruni tangga dengan jelas dan selamat. Berjalan seorang diri dalam gelap itu membuat hati rasa kecut sedikit, jadi untuk menyedapkan hati saya menghayati pengorbanan Nabi s.a.w semasa menaiki dan menuruni Bukit Thur semasa tribulasi dengan puak Quraish di zaman baginda dahulu.

Kerana terlalu lewat, kami tidak dapat teksi. Dengan izin Allah, seorang lelaki berbangsa arab berhenti untuk menumpangkan kami dan mengajak ke rumahnya untuk minum. Rupa-rupanya dia seorang cikgu dan kami berbual-bual sebelum dia menghantar kami ke hotel penginapan kami

Sebelum berangkat pulang saya sempat solat di bumbung Masjidil Haram pada waktu subuh bersama seorang haji ahli rombongan kami. Suara imam solat subuh amat meruntun kalbu hingga boleh mengalirkan air mata. Satu peristiwa masih menjadi tanda tanya hingga kini. Semasa tawaf widak dan sebelum berangkat meninggalkan Masjidil Haram untuk umrah kali ini, langit tiba-tiba menjadi redup seketika untuk beberapa saat, sedangkan pada masa itu matahari agak terang.

Semasa berangkat pulang saya diserang demam panas dan batuk-batuk. Tambahan pula cuaca yang agak terik dan kering. Semasa menyorong troli badan seperti hendak melayang dibuatnya. Ramai penumpang kapal terbang kami yang batuk-batuk hingga pramugari agak risau jika ada wabak jangkitan seperti H1N1. Tambahan pula penutup mulut yang ada tidak mencukupi.



Pemandangan di jalan Kota Madinah dari bilik penginapan Manazeeli berhampiran Masjid Nabawi.


Masjid Nabawi pada waktu malam

Rakan-rakan seperjalanan bersama mutawif kami Hj Naserudin (kanan sekali) selepas berkunjung ke Raudhah dan menziarahi Makam Rasulullah s.a.w, Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saiyidina Umar Al-Khattab r.hum.


Menziarahi perkuburan Baqiq selepas subuh. Sayup dan syahdu mata memandang lanskap yang ditaburi batu-batu nesan tidak bernama milik para sahabat r.hum


Burung-burung merpati merupakan pengunjung setia perkuburan Baqiq



Berkunjung ke ladang unta

Rakan-rakan seperjalanan semasa berkunjung ke salah sebuah masjid bersejarah


Berkunjung ke tapak runtuhan di mana berlakunya Perjanjian Hudaibiyyah


Berkunjung ke Jabal Rahmah, titik pertemuan Nabi Adam a.s dan Siti Hawa selepas terpisah ekoran dari peristiwa memakan buah khuldi dan disingkirkan dari syurga ke atas dunia.

Bergambar di Bukit Uhud di mana berlakunya peristiwa berdarah pembunuhan para sahabat r.hum semasa peperangan Uhud, lantaran keingkaran kepada perintah Rasulullah s.a.w


Di kaki Bukit Thur sebelum memulakan pendakian kami ke puncak selepas waktu Asar bersama pemandu pendakian kami, Haji Shahril. Solat Maghrib dan Isyak di dalam tempat wakaf yang disediakan. Tiba di kaki bukit semula lebih kurang jam 12 tengah malam.

Pemandangan bangunan di Kota Mekah dari Hotel penginapan Zahrath Kamil


Pemandangan Kaabah dari bumbung Masjidil Haram di Mekah

Pemandangan Kaabah dari bumbung Masjidil Haram di Mekah pada waktu malam

Pemandangan di luar Masjidil Haram di Mekah



Pemandangan di luar Masjidil Haram di Mekah pada waktu malam


Pintu masuk berwarna hijau sebelum memulakan tawaf


Batu-batu bukit di awal perjalanan mengerjakan saie di Bukit Safa


Pemandangan berhampiran kawasan lampu-lampu hijau di perjalanan saie antara Safa dan Marwah menandakan tempat untuk kaum lelaki berlari-lari anak (sunat).


Batu-batu di Bukit Marwah menandakan penghujung saie di mana doa akhir saie dan tahallul dilakukan.



Kelambu Kaabah baru dengan empat penanda di penjuru menandakan tempat pusingan lengkap setiap tawaf di Rukun Hajarul Aswad


Pemandangan dari bumbung Masjidil Haram di waktu senja

Pemandangan dari bumbung Masjidil Haram di waktu malam

Hotel Zahrath Kamil, tempat penginapan kami di Mekah














No comments:

Post a Comment