Sunday, January 15, 2012

Membuat buku scrap (scrapbook)


Walaupun membuat buku skrap atau scrapbooking sering kita kaitkan dengan aktiviti seni di sekolah, sebenarnya ia adalah satu teknik mengumpul maklumat yang kaya dengan nilai estetik dan nostalgia di mana pelbagai maklumat berkaitan dengan sesuatu topik atau tema dikumpulkan sebagai sebuah album atau buku.

Tahukan anda scrapbook atau buku skrap ini adalah satu karya seni yang mendapat perhatian ramai di Barat, contohnya untuk dijadikan album foto keluarga atau hadiah sempena sesuatu sambutan?


Mari kita lihat pelbagai contoh yang ada


Suatu masa dahulu scrapbooking diminati oleh mereka yang teliti dan penyabar dengan pelbagai medium seperti kain, butang, reben dan bahan-bahan yang remeh dan memerlukan masa yang lama. Tetapi di masa kini dengan adanya internet dan printer, menghasilkan buku skrap yang menarik tidak lagi memerlukan belanja dan masa yang banyak.


Apakah yang boleh anda hasilkan dengan scrapbook atau buku skrap?

1. Album memoir untuk sesuatu peristiwa, contohnya pembesaran anak atau cucu anda dari lahir hingga menjadi remaja, atau rumah kediaman anda dari masa anda mula mendudukinya hinggalah ke masa kini

2. Sebagai hadiah kepada ahli keluarga atau rakan anda sempena sesuatu keraian. Contohnya sempena hari perpisahan, hari kelahiran atau sambutan Hari Bapa

3. Sekadar hobi di mana anda menyimpan maklumat tentang sesuatu perkara. Contohnya sebuah koleksi keratan akhbar tentang pemimpin, artis atau ikon kegemaran anda

4. Sebagai diari atau jurnal anda yang fleksibel untuk dimuatkan dengan apa jua perkara yang mempunyai memori dalam hidup anda termasuk sajak, surat, keratan akhbar, atau apa-apa jua benda seperti perca kain dan daun kering sekalipun.

Sebenarnya tidak ada batasan untuk membuat sebuah buku skrap, kerana semuanya dibataskan oleh imaginasi anda.







Sebelum memulakan aktiviti skrapbooking anda, ada beberapa perkara yang perlu anda beri perhatian:

1. Pastikan bahan-bahan yang anda gunakan adalah bebas dari asid. Ini kerana buku skrap anda akan disimpan untuk masa yang lama, mungkin hingga ke anak-cucu anda. Oleh itu anda memerlukan bahan-bahan yang tidak dimakan zaman termasuk yang mengandungi asid yang boleh merosakkan buku skrap anda

2. Sekiranya anda menggunakan banyak foto, pastikan anda rekodkan tarikh dan sedikit maklumat tentang gambar tersebut untuk memudahkan proses menghasilkan buku skrap anda

3. Fikirkan tema dan bayangkan rupa buku skrap anda apabila telah siap sebelum anda memulakan projek anda. Ini untuk memastikan hasilnya bukan caca-merba atau kelam-kabut dan sedap mata memandang apabila sesiapa membaca atau melihatnya

4. Fikirkan bagaimana anda ingin menyusun maklumat anda di dalam buku skrap tersebut, sama ada mengikut susunan kronologi (tarikh), tema, peristiwa atau sambutan, topik, individu (bapa, ibu, anak dll) atau apa-apa saja cara yang terfikir oleh anda . Sekiranya anda ingin lebih fleksibel, anda boleh reka buku skrap anda supaya mudah untuk anda menyusun semula maklumat di dalamnya di kemudian hari.

5. Sekiranya anda masih baru dengan buku skrap, mulakan dengan sebuah projek yang kecil sebelum anda melaburkan masa dan sumber yang banyak. Ini untuk membiasakan diri anda dengan teknik-teknik yang ada sebelum mempelajari teknik yang lebih canggih dan kompleks.

6. Sekiranya anda tidak mahu menggunakan foto asal, anda boleh mengimbas (scan) ke dalam komputer anda dan mencetaknya semula. Di samping mengelakkan gambar asal rosak, anda boleh juga menggubah gambar tersebut menjadi hasil yang lebih kreatif seperti mengubah ton warna atau saiz gambar tersebut menurut citarasa dan tema buku skrap anda

7. Lawati pelbagai laman web di internet untuk mempelajari pelbagai teknik yang ada dan bahan-bahan yang anda perlukan sebelum memulakan projek anda. Di negara barat mereka mempunyai kedai khas untuk membekalkan peralatan untuk scrapbooking. Tetapi anda tidak perlukan itu semua kerana anda hanya perlu mengetahui apa yang anda perlukan dan di mana anda boleh dapatkannya di supermarket atau kedai seni dan kraf.
Antaranya adalah Craftwarehouse, Scrapbooking , Scrapbook dan Scrapbookscrapbook



Pelbagai aksesori untuk menambah seri buku skrap anda





Untuk membuat buku skrap anda perlu mengetahui teknik asas untuk menjilidkan buku dalam bentuk album.

Tekniknya adalah seperti ini:

1. Tentukan saiz muka surat yang anda inginkan. Anda boleh gunakan pelbagai kertas dan media berlainan asalkan saiz dan ketebalannya hampir sama. Untuk kulit depan dan belakang, anda perlukan kertas yang lebih tebal sebaik-baiknya kadbod.

2. Buatkan lubang di tepi untuk anda menyatukan semua mukasurat dan kulit depan dan belakang. Pastikan kedudukan lubangnya sama bagi setiap mukasurat. Anda boleh membuat 2, 3 atau 4 lubang sesuka hati anda.



3. Untuk mengikat semua mukasurat menjadi sebuah buku atau album, anda boleh gunakan reben, tali atau apa-apa bahan yang tahan lama dan tidak mudah putus.


Sumber foto: EHow


Dengan kecanggihan teknologi, scrapbooking juga telah diberi nafas baru melalui digital scrapbooking atau buku scrap digital di mana sebuah album atau buku virtual boleh anda reka menggunakan perisian komputer dan boleh anda flip atau buka setiap mukasuratnya seperti sebuah buku sebenar. Hasil karya anda kemudiannya boleh anda jadikan sebuah fail komputer yang boleh anda kongsi dengan ahli keluarga, sanak-saudara atau rakan-rakan anda. Jika anda mahu, anda juga boleh jadikannya CD atau DVD untuk anda tayangkan di TV anda menerusi pemain CD atau DVD anda.

Dengan adanya teknik scrapbooking atau membuat buku skrap, anda bukan sekadar menyimpan maklumat dan memori anda untuk jangkamasa yang lama, malah anda boleh juga menjadikannnya sebuah hasil karya yang boleh dikongsi bersama sesiapa sahaja yang anda kehendaki.

1 comment:

  1. da lama tinggalkn zmn skola, tetibe ank sdara tnye mcmn nk buat scrapbook ni..menggagau cari mujurla jumpe blog ni..tengkiu ye i polo...

    ReplyDelete